BERITA UTAMA
KPT teliti garis panduan untuk semak semula Akta 605

KPT teliti garis panduan untuk semak semula Akta 605

GOMBAK – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti garis panduan untuk menyemak semula Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020 (Akta 605) bagi memberi pengecualian kepada Institusi Pendidikan Tinggi dalam beberapa perkara.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman berkata KPT akan meneliti garis panduan itu sebaik mungkin seperti dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di Dewan Rakyat pada Khamis lepas.

“Jadi kita masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan kepada Pelajar Universiti Awam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Khamis lepas, Zambry dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata terdapat keperluan untuk menyemak semula Akta 605 bagi memastikan universiti awam di negara ini tidak terikat dalam keseluruhan pekeliling yang dikeluarkan kepada badan-badan berkanun.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan iklim dan ekosistem universiti awam terutama membabitkan pensyarah tidak terkongkong dalam menyuarakan pandangan mereka.

Sementara itu, Osman berkata UIAM menyambut baik inisiatif untuk melihat semula Akta 605 itu, namun perlu ada langkah untuk memastikan kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik tidak disalahgunakan.

“Di peringkat universiti, khasnya di UIA, kita menyambut baik kebebasan bersuara khasnya berhubung dengan akademik… sebenarnya secara prinsipnya kita terima itu… Soalnya, pastikan supaya kebebasan itu tidak disalah gunakan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan bantuan pendidikan Didik MADANI YAPEIM berjumlah RM2.34 juta kepada 20 universiti awam di seluruh negara bagi meringankan beban pelajar yang memerlukan.

Beliau berkata bantuan tunai berjumlah RM1,000 seorang itu akan memberi manfaat kepada 2,340 pelajar kemasukan baharu peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi pengajian 2024/2025.

“Inisiatif dilaksanakan YAPIEM ini mempunyai objektif membantu meringankan jumlah pembayaran yuran pendaftaran, meringankan beban keluarga dalam menangani aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak terutamanya sebagai persediaan kemasukan ke universiti awam,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *