BERITA UTAMA
'Khemah biru' di pantai Port Dickson diarah henti operasi

‘Khemah biru’ di pantai Port Dickson diarah henti operasi

PORT DICKSON – Aktiviti sewaan khemah biru di Pantai Telok Kemang yang sering mencetuskan pertikaian di antara peniaga dan orang ramai yang mahu menggunakan pantai awam itu, diarah dihentikan berkuat kuasa 18 November depan.

Notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan turut tular dalam media sosial, antara lain memaklumkan semua khemah dan peralatannya perlu dibersihkan dari tapak perniagaan.

Surat ditandatangani Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid itu, menyenaraikan alasan tindakan terbabit, termasuk aktiviti sewaan khemah biru di Pantai Telok Kemang menjejaskan nama baik Port Dickson sebagai pantai peranginan.

“Ini ditambah lagi dengan tindakan segelintir peniaga yang menghalau orang awam daripada menggunakan pantai awam,” menurut notis berkenaan.

Arahan menghentikan sewaan khemah mulai 18 November itu turut membabitkan Pantai Telok Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.

Ia sebagai persediaan bagi menambah baik perniagaan khemah di pantai daerah ini.

Selain itu, larangan memulakan apa-apa perniagaan sebagai ganti yang jika tidak dipatuhi, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Jika tidak mematuhi mana-mana kehendak notis, MPPD akan memindahkan dan mengalihkan halangan terbabit tanpa notis selanjutnya.

“Pengusaha khemah juga dikehendaki melakukan pembersihan dan menghilangkan semua peralatan seperti khemah, meja, kerusi, payung, struktur atau binaan tempat simpanan dan sebagainya.

“Pihak majlis akan melupuskan apa-apa peralatan yang masih kekal di pantai sekiranya ada selepas pemantauan dilakukan,” menurut notis berkenaan.

Sehingga kini, masih terdapat peniaga ingkar dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan MPPD dalam surat bertarikh 18 Jun 2020.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan akan berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang susulan isu deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang ramai.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *