KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) minta kerajaan menjelaskan bagaimana Kampung Baru mendapat peruntukan yang begitu banyak dalam Belanjawan 2025.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, penjelasan itu perlu kerana rakyat mahu tahu apa keistimewaan Kampung Baru Cina yang mendapat peruntukan sehingga RM84 juta.
Katanya, kerajaan ada menyatakan secara ringkas peruntukan itu kononnya untuk menaik taraf kemudahan asas dan komuniti.
“Tetapi, persoalannya, adakah peruntukan itu kena mengena dengan desakan pihak tertentu yang mahukan Kampung Baru Cina diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO sebelum ini?
“Kerajaan seharusnya memperkasakan Kampung Baru Melayu kerana ia lebih daif dari Kampung Baru Cina. Kita juga ada mendengar Kampung Baru Melayu sekitar Kuala Lumpur dipaksa dijual dengan kadar yang rendah.
“Perkasa juga ingin mendapatkan penjelasan secara terperinci mengenai peruntukan RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur, termasuk sekolah vernakular,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Irwan Fahmi turut bertanya berapa juta peruntukan disalurkan untuk sekolah bukan milik kerajaan.
Justeru, beliau Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menganak tirikan golongan majoriti dengan pengumuman pengumuman yang boleh merugikan bangsa Melayu.
“Sebelum ini kita amat berharap IKS diperkasakan, tetapi tidak mendapat perhatian kerajaan. Apakah yang menjadi pemimpin utama negara ini bukan Melayu?
“Perkasa melihat Perdana Menteri bersungguh cuba menambah baik kedudukan negara, tetapi malangnya kaum majoriti dalam negara tertinggal dengan pengumuman yang seperti tidak menjaga kebajikan kaum itu,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252