PETALING JAYA – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Kilometer 14.9 Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala Pantai Dalam.
Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian itu pada 8.28 pagi tadi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Komander Operasi, Sohirol Rizal Madon, berkata kebakaran membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki berpunca daripada kemalangan jalan raya.
“Pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa berusia 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.
Beliau berkata, kenderaan itu terbakar 100% dan operasi memadam selesai sepenuhnya pada 9.40 pagi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252