KANADA telah mengusir enam diplomat India selepas siasatan polis mengenai “aktiviti jenayah” mendedahkan “kempen keganasan” terhadap pembangkang.
Langkah ini pada awalnya dilaporkan oleh beberapa media pada pagi Isnin, sebelum disahkan oleh Kementerian Luar Kanada pada sebelah petang.
Sebagai tindak balas, Kementerian Luar India mengumumkan, New Delhi telah mengusir enam diplomat Kanada – termasuk Pemangku Pesuruhjaya Tinggi – dan memberi mereka tempoh sehingga hari Sabtu untuk meninggalkan negara itu.
Beberapa jam sebelum itu, India memaklumkan, akan menarik balik diplomat utamanya di Ottawa dan diplomat lain kerana kerajaan Kanada sedang menyiasat mereka sebagai “individu berkepentingan” dalam siasatan tersebut.
Hubungan India-Kanada menjadi tegang sejak September 2023 apabila Perdana Menteri Justin Trudeau mendakwa, Kanada mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan ejen-ejen India dengan pembunuhan pemimpin pemisah Sikh, Hardeep Singh Nijjar, di tanah Kanada awal tahun itu.
Nijjar didakwa menyokong penubuhan tanah air Sikh dalam bentuk negara Khalistan yang merdeka dan telah disenaraikan oleh India sebagai “pengganas” pada Julai 2020.
India berulang kali menafikan tuduhan bahawa ejen-ejennya membunuh Nijjar dan mencabar Kanada untuk berkongsi bukti bagi menyokong dakwaan tersebut. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252