Seoul: Warga emas berusia 80 tahun yang juga model fesyen menjadi wanita tertua yang mengambil bahagian dalam pertandingan Miss Universe Korea.
The Straits Times melaporkan, wanita itu, Choi Soon-hwa diumumkan sebagai finalis dalam pertandingan kebangsaan pada awal September.
Jika menewaskan 31 finalis yang lain esok, Soon-hwa berpeluang untuk mewakili Korea Selatan pada pertandingan Miss Universe ke-73 di Mexico City pada 16 November depan.
Ia sekali gus menjadikannya peserta tertua dalam sejarah pertandingan antarabangsa itu.
“Saya mahu mengejutkan dunia, (persoalannya) seperti bagaimanakah seorang wanita berusia 80 tahun begitu sihat?” katanya.
Soon-hwa berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain dengan menunjukkan kesihatan dan kecergasan dapat dikekalkan sehingga usia tua.
Pertubuhan Miss Universe baru-baru ini menarik balik had umur untuk peserta yang sebelum ini ditetapkan pada usia 28 tahun dan melayakkan penyertaan Soon-hwa.
“Sekarang sekatan umur sudah ditarik balik, jadi saya berkata (kepada diri sendiri) harus mencubanya,” katanya.
Selepas bersara daripada pekerjaannya dan menghadapi masalah kewangan, Soon-hwa kembali bekerja sebagai penjaga hospital ketika berusia 50-an.
Dia mula menjadi model pada usia 72 tahun, akhirnya membuat penampilan sulungnya di Minggu Fesyen Seoul pada usia 74 tahun pada 2018 dan muncul dalam majalah utama seperti Harper’s Bazaar dan Elle.
Soon-hwa, yang berusia 81 tahun pada Oktober ini adalah ibu kepada tiga anak dan sudah mempunyai cucu.
“Anak saya berkata dia bangga dengan saya, cucu juga menyatakan kekaguman dengan nenek mereka yang hebat,” katanya. -Agensi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252