KUALA LUMPUR – Cropmate Berhad (Cropmate), pemain utama dalam industri pembuatan baja konvensional dan khusus di Malaysia telah menerima kelulusan dari Bursa Malaysia untuk disenaraikan ke Pasaran ACE.
Ditubuhkan pada 2018, Cropmate telah meletakkan dirinya sebagai pakar dalam pasaran baja Malaysia terutama dalam perumusan dan pengadunan kedua-dua baja konvensional dan khusus, dengan jenama mereka sendiri yang terdiri daripada 17 formulasi standard untuk baja konvensional dan 12 formulasi standard untuk baja khusus.
Pengarah Urusan Cropmate Berhad, Lee Chin Yok berkata, pihaknya berbesar hati menerima kelulusan Bursa Malaysia untuk IPO di Pasaran ACE.
“Sebagai syarikat baja sejati pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, penyenaraian ini mewakili pencapaian penting untuk Cropmate.
“Ia bukan sahaja meningkatkan profil kami, tetapi juga meletakkan kami secara strategik dalam pasaran, membolehkan kami meluaskan jangkauan dan impak kami merentasi sektor pertanian Malaysia.
“IPO membuka pintu kepada pasaran modal, memberikan kami sumber yang diperlukan untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya dan mengukuhkan kepimpinan kami dalam industri baja,” katanya di sini hari ini.
IPO Cropmate itu nanti melibatkan terbitan awam sebanyak 210 juta saham biasa baharu dalam Cropmate, mewakili 28.4 peratus daripada jumlah yang saham diperbesarkan iaitu sebanyak 738 juta saham yang diterbitkan.
Manakala sebanyak 50 juta saham ditawarkan untuk jualan, mewakili 6.8 peratus daripada jumlah yang diperbesarkan sebanyak 738 juta saham yang diterbitkan.
Chin Yok berkata, dana yang dikumpul akan memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif strategik syarikat, terutama menaik taraf proses penimbangan automatik, menubuhkan makmal penyelidikan dan pembangunan serta ujian, membeli peralatan dan kenderaan serta pemerolehan kilang, iaitu Lot Kilang 8949 dan Kilang Lot 8950, yang merupakan kemudahan operasi sedia ada syarikat.
“Langkah ini sejajar dengan visi jangka panjang kami untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan pertanian di Malaysia.
“Dengan terus berinovasi dan menambah baik penawaran baja, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Cropmate sebagai rakan kongsi yang dipercayai kepada petani dan peneraju dalam pasaran baja,” ujarnya.
Cropmate juga membangunkan baja khusus yang disesuaikan dengan keadaan tanah, alam sekitar dan tumbuhan tertentu, memastikan pertumbuhan dan kesihatan optimum untuk pelbagai tanaman. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252