Oleh Nik Saiful Adli Burhan
PENULISAN ini bagi menjawab persoalan dalam Rencana Sinar Harian 6 September 2024 bertajuk “Elok Mansuhkan Sahaja Grup Whatsapp Sekolah Anak” – https://www.sinarharian.com.my/article/684129/suara-sinar/pojok/elok-mansuhkan-sahaja-grup-whatsapp-sekolah-anak?
Komunikasi adalah kunci utama persefahaman dan kerjasama tak kira dalam apa-apa jua organisasi sama ada tempat kerja, keluarga, sekolah mahupun institusi pendidikan.
Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi menjadi faktor utama peningkatan taraf hidup secara drastik pada mana-mana peringkat tamadun. Daripada sejarah penciptaan mesin cetak, sistem pos, teknologi telefon sehinggalah kepada kemudahan capaian internet sebagaimana hari ini.
Begitu juga penggunaan teknologi ini dalam pendidikan dan pengurusan pendidikan terutamanya di sekolah.
Rata-rata sekolah menggunakan WhatsApp Group sebagai medium menyampaikan maklumat daripada pihak sekolah dan guru kepada ibu bapa, termasuk bagi menyampaikan pesanan kepada murid-murid. Malah, seolah-olah ianya sedang menggantikan kaedah surat menyurat rasmi sebagaimana sering diamalkan sebelum ini.
Jika memikirkan masalah perbalahan dan keserabutan pelbagai masalah luar yang dibawa masuk ke dalam group, ianya tidak sepatutnya menjadi alasan ianya ditolak. Kebanyakan sekolah sememangnya menetapkan hanya guru dan pentadbir sekolah diberi akses memasukkan maklumat ke dalam aplikasi tersebut. Ibu bapa pula masih boleh menghubungi guru secara peribadi tanpa menggunakan group tersebut.
Pada zaman dahulu, banyak aktiviti sekolah tergendala kerana kegagalan maklumat disampaikan oleh anak-anak apabila balik ke rumah. Lebih-lebih lagi melibatkan murid sekolah rendah yang kadangkala tidak jelas dengan arahan dan gagal menyampaikan maklumat kepada ibu bapa dengan tepat.
Dari maklumat mengenai pakaian sekolah, aktiviti, bayaran, kerja rumah, sehingga kepada aktiviti pembelajaran tambahan turut dimuatnaik oleh guru-guru untuk kelangsungan pendidikan melalui penggunaan teknologi ini.
Jika kita melihat kepada kemajuan negara-negara di dunia, negara yang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi akan mendahului dari semua aspek kemajuan. Kerana penguasaan terhadap teknologi ini juga, Jepun, India dan China berjaya menyaingi negara-negara Eropah yang lain.
Sebahagian besar dalam Surah Al-Hujurat juga Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah kaedah-kaedah komunikasi dan tatacara perhubungan antara manusia yang menjadi asas kepada proses dakwah dan pembangunan umat manusia di pelbagai zaman.
Pada pandangan saya, sewajarnya teknologi maklumat dan komunikasi ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam mencapai komunikasi berkesan antara ibu bapa, guru dan murid-murid bagi memastikan semua pihak bergerak seiringan dalam proses mendidik anak-anak bukan sahaja di sekolah, tetapi pada setiap masa.
Jika pada zaman dahulu, hanya mesyuarat PIBG selama dua jam setahun sahaja menjadi penghubung ibu bapa dan guru, mengapa harus kita menolak peluang ibu bapa dan guru bersama-sama 24 jam sehari. Bukankah ia sepatutnya menjadikan proses pendidikan lebih baik? – ND
Nik Saiful Adli Burhan adalah Timbalan Pengerusi Tetap GPMS Kebangsaan yang juga Yang Dipertua PIBG SK Padang Kala, Kota Bharu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252