PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sekretariat itu akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan ‘reform’ membabitkan perkhidmatan awam.
“Saya sudah putuskan baru-baru ini untuk Kementerian Kewangan, mewakili kerajaan keseluruhannya membentuk jawatankuasa dua hala, jawatankuasa mengemaskini rasionalisasi badan berkanun.
“Badan berkanun itu terlalu banyak dan bertindih (fungsi), rasionalisasi maknanya kurangkan keterlanjuran dan belanja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan, hari ini.
Semalam Anwar memberi gambaran September sebagai bulan pergerakan dan ‘reform’ atau pembaharuan lebih besar dalam kalangan kakitangan awam.
Tegas Perdana Menteri, semua pihak perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan ke tahap 95 peratus.
Untuk itu, katanya, semua penjawat awam perlu melakukan yang terbaik dalam membawa perubahan ke arah kebaikan dan tidak sekadar kekal di tahap sederhana.
Anwar turut mengarahkan langkah ‘reform’ yang dirancang dalam pentadbiran awam dilaksanakan dengan segera bagi memastikan semua usaha dapat berjalan dengan lebih berkesan.
Mengakui masih ada yang belum memuaskan, Perdana Menteri akan berbincang dengan Shamsul Azri dan Wan Ahmad Dahlan mengenai langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki prestasi.
“Penggabungan agensi dan jabatan, itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan, kadang-kadang yang kurang perlu itu belum di tingkat yang memuaskan.
“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit mengenai kelembapan, kecuaian beberapa pegawai, itu pun belum di tahap memuaskan,” katanya. – BH Online
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252