SEPANG – Putra Bahagian ini menggesa kerajaan menaikkan kadar gaji minimum bagi pekerja sektor swasta seiring kenaikan gaji penjawat awam.
Setiausahanya, Abdul Hamid Puteh berkata, ini bagi memastikan semua rakyat menerima gaji atau upah perkhidmatan setimpal mengikut peredaran kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Kata beliau, pekerja di sektor swasta ketika ini hanya menerima gaji RM1,500 sebulan sama seperti gaji yang diterima pekerja asing yang bekerja di negara ini.
“Pekerja sektor swasta banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara, malah mereka lebih ramai berbanding penjawat awam dan kita dapat lihat penglibatan mereka dalam memacu kemajuan dan ekonomi negara.
“Perkara ini sama sekali tidak boleh disangkal, malah terdapat antaranya telah mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Justeru, Putra Bahagian Sepang menyarankan kerajaan memberikan ,ketetapan kepada semua majikan di pelbagai sektor swasta menaikkan kadar gaji kepada RM2,000 untuk warga tempatan melebihi kadar gaji minimum warga asing RM1500 seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jangan kera di hutan disusukan anak sendiri berciciran, bahkan kerajaan perlu menaikkan martabat pekerja tempatan, di samping menjaga kebajikan mereka agar menjadi kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252