BERITA UTAMA

Manfaatkan subsidi percuma PERKESO selama setahun

KUALA LUMPUR: Pekerja filem dan industri seni disaran memanfaatkan subsidi percuma selama setahun bagi pencaruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diperuntukkan kepada 4,500 pekerja industri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata 90 peratus carum ditanggung kerajaan, manakala 10 peratus lagi adalah sumbangan perbadanan itu.

“Di Malaysia, ada kira-kira 15,000 pekerja seni yang berkerja secara ‘freelance’, tetapi mencarum tak sampai pun separuh.

“FINAS dan PERKESO kini bekerja rapat selama enam bulan mengadakan pelbagai program tingkat kesedaran pekerja seni.

“Malah, bagi menggalakkan mereka mencarum, subsidi diberikan selama setahun.

“Kami sudah meminta Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) untuk daftarkan ahli mereka,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Azmir diundang sebagai speaker Seminar Teknikal 2024 Keselamatan Sosial Untuk Pekerja Persendirian dan Pekerja Platform anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

Azmir berkata, orang seni yang hampir 80 peratus bekerja sendiri patut dilindungi paling minimum melalui PERKESO.

Katanya, FINAS akan mewajibkan produksi memastikan pekerjanya mencarum dengan PERKESO sebagai perbadanan yang bertanggungjawab mengeluarkan Surat Perakuan Penggambaran Filem (SPP).

“Mana-mana produksi yang memohon SPP perlu memastikan pekerja untuk mencarum dengan PERKESO.

“Bila memohon sijil SPP mereka kena ada kontrak standard PERKESO dan KWSP.

“Kami bukan paksa, tapi beri galakan. Saya sudah bincang dengan kementerian yang mana penerima dana FINAS dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) supaya ada kontrak standard.

“Jadi, lama-kelamaan mereka mempunyai kesedaran mencarum sendiri tanpa perlu diberitahu,” katanya.

Sekurang-kurangnya, kata Azmir, mereka ada tempat untuk dirujuk jika sesuatu berlaku seperti hilang keupayaan untuk bekerja.

“Contohnya, seperti satu kes bekas pekerja filem di Sarawak yang menghidap kanser, tak berupaya bekerja dan memerlukan sekitar RM400 sebulan untuk membeli ubat.

“Ketika datang menghulurkan bantuan, kami bawa sekali pegawai PERKESO, bila disemak rupanya dia ada mencarum dan layak mendapat pencen ilat RM800 sebulan.

“Itulah sebabnya kami galakkan pekerja seni mencarum dengan PERKESO. Ketepikan sedikit upah yang dapat, bukan banyak mana caruman dikenakan demi kebaikan pada masa depan,” katanya.


Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *