KUALA LUMPUR – Anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus komited mengesan mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, yang operasi pencariannya memasuki hari kesembilan sejak kejadian itu berlaku pada 23 Ogos.
Lebih 115 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium, Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains.
Tinjauan Bernama di lokasi pada jam 9.30 pagi tadi mendapat, pasukan SAR sudah berada di lokasi kejadian dan kawasan sekitar bagi meneruskan operasi pencarian mangsa, namun belum ada sebarang pergerakan setakat ini.
DBKL dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi SAR pada hari kelapan diteruskan pada sebelah malam.
Difahamkan, pasukan SAR malam tadi yang meneruskan operasi sehingga jam 4 pagi, menggunakan kamera teleskopik bagi melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan backlog’.
Kamera terbabit mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera ‘push rod’ dan ‘crawler’ yang digunakan sebelum ini.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan usaha pencarian berkenaan memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dijangka membuat sidang media berhubung kejadian terbabit pada jam 2 petang ini.
Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama membabitkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252