BERITA UTAMA
67 tahun merdeka, kemajuan Orang Asli belum ‘memuaskan’, dakwa wakil rakyat

67 tahun merdeka, kemajuan Orang Asli belum ‘memuaskan’, dakwa wakil rakyat

KUALA LUMPUR – Ketika usia kemerdekaan Malaysia menginjak 67 tahun bulan ini, masyarakat Orang Asli Semenanjung masih menaruh harapan untuk menikmati kemajuan infrastruktur dan sosioekonomi.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dalam temubual dengan FMT mendakwa kemajuan komuniti yang mempunyai 18 suku kaum itu masih jauh ketinggalan dan memerlukan pembelaan berterusan.

Dengan 67 tahun kemerdekaan ini, saya lihat (Orang Asli Semenanjung) begitu jauh ketinggalan, katanya dalam temubual sempena Hari Kebangsaan.

Ramli memetik laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang mengenal pasti isu mencengkam komuniti ini antaranya, isu tanah adat, ekonomi, keciciran pendidikan dan kemunduran infrastruktur (jalan raya, bekalan elektrik dan air).

Kemiskinan tegar, undang-undang melindungi kepentingan Orang Asli yang didakwa lemah, adat dan budaya semakin terhakis serta peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang kurang berkesan.

Timbalan speaker Dewan Rakyat itu berpandangan usaha memajukan Orang Asli harus dijadikan dasar kerajaan yang wajib dilaksanakan demi menterjemah keistimewaan masyarakat itu sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Keciciran pendidikan untuk anak Orang Asli antara perkara ditekankan dalam laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Bila (usaha memajukan Orang Asli) menjadi dasar dalam kerajaan memerintah, ia wajib dipantau serta dilaksana. Kita peruntukan sejumlah bajet (untuk laksana dasar), dan ia harus ada hasilnya (output).

Orang Asli ini ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan (begitu istimewa), kenapa tak ada jabatan orang Melayu, Cina dan India atau lain-lain (dalam perlembagaan)?,” soalnya yang berasal suku Semai.

Ramli berkata sejak negara merdeka, politik Orang Asli hanya berharap jika ada wakil rakyat sudi membawa suara mereka, selain seorang senator di Dewan Negara.

Namun, sejak dirinya dipilih mewakili Orang Asli di Dewan Rakyat pada 2019, beliau bertanggungjawab mewakili suara sekitar 217,000 Orang Asli.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat akses terus kepada menteri, timbalan menteri, ketua jabatan untuk mengangkat isu-isu Orang Asli. Tapi ada hadnya, kerana saya wakil rakyat Cameron Highlands dan isu pengundi lain pun kena perjuangkan.

Orang Asli sudah ketinggalan berpuluh tahun terbelakang dalam semua sektor, Insya-Allah dengan kesabaran dan usaha, ada jalannya,

 katanya yang sedang mengusahakan pindaan pada perlembagaan melibatkan hak dan kepentingan Orang Asli.

Pun begitu, Ramli menyeru masyarakat Orang Asli tidak menolak malah menyambut keistimewaan serta kemudahan diberikan kerajaan untuk mengubah nasib mereka. – FMT

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *