BERITA UTAMA
Kerajaan diminta tangguh rancangan pelesenan platform media sosial

Kerajaan diminta tangguh rancangan pelesenan platform media sosial

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Gabungan Internet Asia (AIC) yang anggotanya termasuk Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab, melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

AIC mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Kumpulan itu juga mendakwa, tiada rundingan awam secara rasmi mengenai perancangan terbabit, sekali gus membawa kepada ketidakpastian industri berhubung skop obligasi yang akan dikenakan ke atas platform media sosial.

“Tiada platform boleh dijangka mendaftar bawa syarat sebegini,” kata Pengarah Urusan AIC, Jeff Paine, dalam surat itu yang dipaparkan dalam laman sesawang kumpulan berkenaan.

Kementerian Komunikasi enggan mengulas mengenai surat itu, manakala Pejabat Perdana Menteri tidak respons kepada permintaan untuk komen, setakat ini.

Media sebelum ini melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang memiliki sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dipetik memaklumkan, langkah itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025, susulan satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan mulai 1 Ogos lalu.

Penguatkuasaan itu selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet di negara ini perlu mematuhi undang-undang Malaysia.

Kegagalan mana-mana perkhidmatan berkenaan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa, adalah kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

Kerangka kawal selia baharu itu hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna.

Seterusnya, AIC turut menyatakan kebimbangan bahawa peraturan yang mahu dilaksanakan itu boleh menjejaskan ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang serta menarik pelaburan besar pada tahun ini.

Menurut kumpulan itu, pihaknya berkongsi komitmen dengan kerajaan untuk menangani bahaya dalam talian, namun garis masa pelaksanaan yang dicadangkan didakwa menyebabkan industri tidak jelas dan tiada masa mencukupi untuk menilai implikasinya.

Perkhidmatan media sosial, pesanan internet akan dilesenkan – mcmc

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *