BERITA UTAMA

PRK Nenggiri: Takiyuddin sahkan dipanggil beri keterangan berkait ceramahnya

GUA MUSANG: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Gua Musang berhubung ceramahnya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia bagi melengkapkan siasatan susulan laporan polis dibuat terhadapnya oleh Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan mengancam pengundi di Nenggiri.

“Disebabkan ceramah saya pada malam itu, saya dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan.

“Kita rakyat yang patuh kepada undang-undang, kita akan pergi memberikan keterangan, cuma tidak sempat lagi kerana sibuk,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PRK Nenggiri di Sungai Asap, di sini, malam tadi.

Takiyuddin menegaskan sebagai rakyat yang setia, beliau akan hadir ke balai polis tetapi berharap diberikan sedikit masa kerana sibuk.

“Saya akan memberikan kerjasama. Saya akan memberi keterangan kepada polis selepas ini,” katanya.

Media semalam melaporkan polis membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan sensitif yang didakwa dikeluarkan seorang ahli politik dalam ceramahnya di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Baru sempena PRK DUN Nenggiri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dipetik berkata ahli politik terbabit didakwa membuat kenyataan berkenaan pada 3 Ogos lalu dan susulan itu, satu laporan dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang. – BH


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *