BUTTERWORTH – Polis menahan seorang lelaki selepas dia menyerang bekas teman wanitanya dengan pisau di sebuah pasar raya di Bagan Ajam, Butterworth dalam kejadian Ahad lalu.
Rakaman kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 8.45 malam itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Anuar Abdul Halim berkata, polis menerima laporan daripada mangsa mendakwa dia telah diganggu lelaki yang juga bekas teman lelakinya.
“Semasa berada dalam premis tersebut, suspek dikatakan telah menyerang mangsa dengan sebilah pisau menyebabkan jari kelingking kanannya cedera semasa bergelut dengan suspek.
“Suspek berjaya ditangkap orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut sebelum anggota Unit Kereta Peronda Polis Butterworth menahan suspek untuk tindakan reman.
“Suspek kemudian direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik Astro Awani.
Menurut Anuar, tindakan menuduh suspek akan dilakukan segera selepas menerima arahan dari Timbalan Pendakwa Raya.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki memegang seorang wanita sambil mengacukan pisau di sebuah pasar raya di Butterworth.
Orang ramai yang berada di lokasi dilihat cuba menenangkan suspek sebelum mereka menahan dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdapat kesan darah di lantai pasar raya berkenaan susulan kecederaan dialami mangsa dalam insiden itu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252