BEIRUT – Hizbullah melancarkan puluhan roketnya ke utara Israel pada Khamis sebagai tindak balas kepada serangan maut Israel di selatan Lubnan.
Ia adalah serangan pertama kumpulan itu selepas Israel membunuh seorang komander tertingginya awal minggu ini.
Kumpulan yang disokong Iran itu, dalam satu kenyataan memaklumkan mereka melancarkan puluhan roket Katyusha, sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas kampung selatan Shama yang membunuh sejumlah orang awam.
Tentera Israel pula berkata, sejurus selepas tembakan roket itu, tentera udaranya menyerang pelancar roket Hizbullah, lokasi di mana senjata itu dilancarkan.
Awal Khamis, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata empat rakyat Syria terbunuh dalam serangan Israel di selatan, di mana Hizbullah dan Israel berbalas tembakan hampir setiap hari sejak perang Gaza bermula pada Oktober.
“Kementerian Kesihatan mengumumkan empat warga Syria mati syahid dalam serangan Israel di perkampungan selatan Shama,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata, jumlah kematian mungkin meningkat sebaik ujian DNA dijalankan, selain serangan turut mencederakan lima warga Lubnan.
Perkhidmatan kecemasan pula memberitahu mereka yang maut adalah petani dan sebahagiannya adalah ahli keluarganya.
Kepulan asap memenuhi lokasi serangan, yang merosakkan dua bangunan berhampiran dan membakar kenderaan sehingga musnah.
Ia serangan pertama Hizbullah sejak serangan udara Israel membunuh komander tertingginya, Fuad Shukr, pada petang Selasa, dengan pemimpinnya, Hassan Nasrallah, menyatakan operasi akan disambung semula pada pagi Jumaat.
Nasrallah memberi amaran bahawa kumpulannya pasti akan bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr.
Kematian Shukr disusuli beberapa jam kemudian pada Rabu, dengan pembunuhan ketua sekutu Hizbullah, Hamas, Ismail Haniyeh, dalam serangan di Tehran, yang mana mereka turut menyalahkan Israel.
Keganasan sejak Oktober lalu membunuh sekurang-kurangnya 542 orang di pihak Lubnan, kebanyakannya pejuang tetapi termasuk juga 114 orang awam.
Sekurang-kurangnya 22 tentera dan 25 orang awam terbunuh di pihak Israel, termasuk di Dataran Tinggi Golan yang diilhakan, menurut angka tentera. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252