‘Saya tak pernah minta DAP ‘jauhi’ Nenggiri ‘, kata Ku Li

‘Saya tak pernah minta DAP ‘jauhi’ Nenggiri ‘, kata Ku Li

PETALING JAYA – Tengku Razaleigh Hamzah menafikan ada mengeluarkan kenyataan meminta DAP tidak turun atau menjauhi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.

Dalam wawancara dengan FMT, Penasihat UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, beliau hanya memaklumkan tiada keperluan DAP berkempen pada PRK itu yang berlangsung 17 Ogos ini.

Jelasnya, dalam satu perbincangan, timbul persoalan sama ada pemimpin DAP perlu dijemput berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN), Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Saya kata, untuk apa pemimpin DAP di sini? Kebanyakan mereka (pemimpin DAP) bukan Melayu dan ini (Nenggiri) adalah kawasan 100 peratus Melayu. Jadi, itulah sebabnya. Ia berhenti di situ,” katanya.

Tengku Razaleigh yang dilantik Pengarah UMNO untuk PRK itu kemudiannya diminta menjelaskan sama ada beliau akan ‘menghalang beberapa orang daripada datang’ berkempen.

“Saya kata tiada keperluan. Mereka tidak perlu datang. Itu kenyataan saya,” katanya sambil menambah beliau tidak mempunyai kuasa menghalang orang ramai ke Nenggiri atau berkempen.

“Saya buat kenyataan, di mana (saya berkata) saya tidak fikir ada keperluan untuk DAP pergi ke sana. DAP tidak bertanding. Tidak ada kontroversi, tidak ada apa-apa,” katanya.

Khamis lalu, sebuah portal berita melaporkan, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li menggesa, DAP tidak turun berkempen pada PRK itu dan dilaporkan mempersoal kepentingannya datang ke kawasan Melayu.

Beliau dilaporkan berkata, mereka tidak mahir dalam bahasa Melayu dan ucapan kempen DAP selalu lebih condong kepada pengundi Cina.

Ku Li juga dilaporkan berkata, DAP akan membuang masa ke Nenggiri dan orang Melayu di kawasan itu hendak mendengar dari orang Melayu mengenai orang Melayu di sana.

BN juga menafikan dakwaan komponen itu tidak mahu ahli atau sekutunya dalam kerajaan perpaduan berkempen pada PRK Nenggiri.

Komponen itu menyifatkan dakwaan terbabit sebagai gerakan politik untuk memecahbelahkan kerajaan perpaduan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *