SEPANJANG penglibatan dan hubungan Kak Lah dengan Mak Bonda, banyak perkara telah dilalui dan ditemuinya. Segala kata Mak Bonda dan mimpi sering menjadi kenyataan dalam hidup beliau. Barang-barang yang ditemukan secara mimpi ataupun dipesan kepada orang perantaraan Mak Bonda disimpan sebaik mungkin. Barangan itu dijadikan koleksi yang tidak disalahguna.
Kak Lah menyimpannya sebagai salah satu pusaka warisan yang diamanahkan kepadanya oleh Mak Bonda. Semua peninggalan itu juga satu pembuktian hubungan Kak Lah dengan Mak Bonda. Mungkin ada yang meraguinya, tetapi itulah yang ada padanya dan tidak pada orang lain.
Antara barangan Mak Bonda dalam simpanan Kak Lah ialah sebatang tongkat yang diambilnya dari rumah Mak Bonda di Kampung Aril, Bachok selepas mangkat. Tongkat itu, menurut Kak Lah dalam proses pencarian pewaris amanah ilmunya. Hanya Kak Lah yang memahaminya tujuan dia menyimpan tongkat itu. Hanya Jauhari yang mengenal Manikam.
Begitu juga dengan cucuk sanggul yang diberikan oleh seseorang individu kepada Tuan Haji Nordin (Cikgu Nordin Keris) dalam tahun 2001. Ketika itu cucuk sanggul itu berupakan keris anak alang. Pada suatu ketika, Cikgu Nordin mendapat ilham untuk menjadikan keras itu sebagai cucuk sanggul dengan membuat sarungnya. Maka, pada 2016 terhasillah cucuk sanggul dan diserahkan kepada Kak Lah.
Keris Simbol Kebesaran – Keris Lonjakan/Keris Puncak Alam
Kak Lah telah menerima keris ini dari Dato’ Wan Omar bin Wan Majid iaitu mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak dan mantan Ahli Parlimen Pasir Puteh. Beliau yang sama-sama membantu Kak Lah untuk memulakan acara meletak kerja Majlis Perasapan di Home Village Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. Di sinilah bermulanya menjejaki salasilah keturunan yang hilang.
Acara meletak kerja telah berlaku di kediaman Dato’ Wan Omar di Kampung Raja Dagang, Cherang Ruku, Semerak yang dikendalikan bersama Ustaz Mid Jelawat. Acara bermula dengan penuh simbolik dan cukup bermakna. Di majlis inilah Kak Lah menerima Keris Lonjakan/Keris Puncak Alam daripada Dato’ Wan Omar pada Mac 2012.
Menurut Dato’ Wan Omar, ini adalah keris lama yang dimimpikannya untuk diambil di rumah Tok Wan Ismail. Dato’ Wan Omar telah memasang ulu dan sarung untuk keris itu sebelum diberikan kepada Kak Lah untuk dijadikan simbol kebesaran. Kak Lah telah berjumpa dengan Dato’ Dr. Azmi dan sahabatnya Abang Aziz yang merupakan pakar dan peminat keris.
Abang Aziz berkata, “Keris ini mencari tuan,” pesannya kepada Kak Lah agar mencuci keris dengan merendam dalam nasi selama tiga hari tiga malam. Pada malam itu juga, jam 1 pagi Kak Lah mula mencuci keris selama tiga hari tiga malam. Karat atau darah merah keluar dengan banyak sekali.
Seminggu sebelum majlis perasapan iaitu Jun 2012, Kak Lah telah bermimpi diangkat naik hingga ke langit ketujuh oleh seorang perempuan yang berpakaian Melayu lengkap bersetanjak dengan meletakkan ibu jari dalam mulut Kak Lah. Selain itu, Kak Lah juga bermimpipenjaga keris itu adalah Raja Buaya Sakti yang duduk bertapa dalam bumi yang merekah.
Mak Bonda ketika memandikan Kak Lah suatu ketika dahulu telah menyerahkan gambar Hang Tuah dengan berkata, “Akulah Hang Tuah”. Sehinggalah adik Kak Lah (Mizi) mendapat alamat melalui mimpi bahawa keris di tangan Kak Lah adalah keris Taming Sari yang asal.
Pada 8 September 2015, satu temubual dengan pakar keris telah diadakan iaitu Tuan Haji Mohd Noordin bin Abd Hamid berusia 65 tahun. Beliau adalah pesara guru yang sebelum ini mendapat pendidikan B. Hons. USM dalam bidang Seni Halus. Beliau meminati perihal keris sejak kecil lagi, memandangkan beliau dibesarkan dalam suasana persenjataan, yang mana datuknya adalah seorang Penggawa di daerah Lundang, tempat penyimpanan senjata untuk kegunaan sultan.
Beliau yang mesra disapa cikgu atau Ayah Din berkemahiran membuat keris dan merupakan Penasihat kepada Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan serta Persatuan Seni Purba Nusantara Selangor. Beliau pernah menjadi Editor bagi buku Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu yang ditulis oleh Zakaria Abdullah dan diterbitkan D Warisan Darul Naim dengan kerjasama Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan yang dicetak pada 2007.
Menurut Tuan Haji Noordin, keris ini adalah dari jenis Bugis (Jawa), mengandungi pelbagai jenis besi, dengan lot tujuh, berpamor ketandaan gunung jolokan. Gunungnya tinggi menaik. Usia keris ini melebihi 100 tahun.
Pada 5 Mac 2016, satu temubual dengan Encik Siri Neng Buah mengenai Keris Lonjakan telah diadakan. Menurut pandangan Pak Siri, tuntun keris itu sangat lama, belalai gajah dan kepala cicak banyak terhakis, yang menandakan keris itu dalam keadaan uzur. Keris itu sangat panas, tidak boleh dihunus sembarangan, hunus bererti maut. Beliau juga mengatakan keris itu keris Melayu atau keris semenanjung.
Sampirannya berbentuk semenanjung dan berlot tujuh. Ia berbentuk tajung sempena ganja iras, yang dikatakan diperbuat dari besi 40 kota, besi jenis kursani. Kehebatan keris itu menurut Pak Siri, setitis darah jatuh ke laut, setahun ikan tak main. Setitis ke humur, setahun padi tak menjadi. Dagang menggalas jejak ditikam mati jua.
Keris Taming Sari dititing dan ditatah bisanya tiada dua berbanding tiga. Bagaimanapun, beliau tidak mengiyakan atau menidakkan bahawa keris di tangan Kak Lah itu keris Taming Sari yang asal.
Menurut Cikgu Din pula, pakaian atau sarung keris itu berunsur Kelantan-Pattani. Sampirnya berbentuk tebar layar yang diperbuat dari kayu kemuning bercoreng dan bergewen, manakala hulunya berbentuk anak ayam yang juga diperbuat dari kayu kemuning bercoreng.
Keris Simbol Kebenaran
Perkenalan Kak Lah dengan seorang sami yang tinggal di Johor, iaitu Lim Meng Swee sempena kehadiran beliau ke Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan peringkat Malaysia pada 3 November 2012, telah menjadi titik pertemuan yang penuh bermakna, apabila beliau telah diberikan sebilah keris yang penuh simbolik. Menurut Sami Lim, ketika beliau mengunjungi Temple Wat Ban Suan di Phattalong, Thailand, beliau berasa hairan apabila melihat satu keris Melayu ada dalam kuil itu.
Beliau terus bertanya kepada Sifu Plakku Mahar Plom perihal keris itu. Sifu itu telah memaklumkan beliau telah bermimpi seorang raja Kelantan yang asal telah menyuruhnya membuat sebilah keris dari sembilan jenis besi berlainan. Sifu Plakku Mahar Plom belum pernah membuat keris sebelum ini. Keris itu telah dibuat oleh Sifu Plakku sebagaimana arahan dalam mimpinya. Setelah siap, keris itu disimpan dalam Temple Wat Ban Suan.
Apabila Sami Lim memaklumkan kepada Sifu Plakku perihal Kak Lah, Sifu Plakku meminta agar keris itu diserahkan kepada Kak Lah. Maka, keris itu dibawa dari Bangkok pulang ke Kuala Lumpur dan diserahkan kepada Kak Lah pada 7 Januari 2013.
Pada 25 April 2013, satu majlis telah dianjurkan oleh Persatuan Penganut Dewi Chun Tee Fo Ker di Restoran Pekin@Sutera Utama, Johor. Sempena majlis itu, penyerahan keris secara rasmi telah diadakan oleh Sami Lim kepada Kak lah.
Bab 4: Sejarah Berulang Kembali
Pada suatu zaman dahulu, semasa pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang didatangi pedagang dari China, Arab dan seluruh Nusantara. Pedagang ini bukan sahaja datang melawat, malah menjana ekonomi melalui pelbagai dagangan seperti garam, bunga cengkih, songket, benang emas, kain sutera dan juga kain batik. Malah, permulaan rekaan kain batik juga berasal dari Jawa dan sememangnya Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang merupakan berdarah Jawa, Indonesia, Hindu dan sebagainya.
Kini, Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia yang dipelopori oleh pengasasnya, Kak Lah, ramai yang datang dari seluruh Nusantara membantu memberi sumbangan kepada pertubuhan bagi menjalankan aktiviti seperti memperjuangkan hak-hak agama Islam, hak Orang Melayu dan memperjuangkan institusi Raja-Raja Melayu.

Manakala, pada zaman dahulu juga, pedagang mengangkat hak kedaulatan di bawah Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, tetapi zaman yang berbeza. Oleh itu, dalam Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia telah pun merancang dan menjana beberapa program asas, iaitu menerbitkan buku sejarah “Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Merentas Zaman”, buku album, buku perjalanan masjid asal yang menterjemahkan di seluruh masjid Kelantan, dokumentari, travelog, teater, animasi dan juga galeri warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.
Ini semua merupakan projek asas yang akan diperjuangkan oleh pedagang yang kini dikenali sebagai ahli korporat dari Singapura, China dan Brunei yang datang membantu Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia selaku ahli kehormat. Mereka ini yang telah banyak membantu telah diberi penghargaan Dirgahayu Adat Warisan Kehormat Cik Siti Wan Kembang.
Mereka ini turut bertanggungjawab menjana ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan mengikut Undang-Undang Tubuh Pertubuhan, iaitu Fasal 04.1.5 Ahli Kehormat merupakan mereka yang dipilih jawatankuasa pertubuhan atas jasa-jasa dan kelebihan yang tertentu tanpa mengira kaum, bangsa, warganegara (seluruh Nusantara) atau agama dan mereka menyumbangkan serta membantu untuk Tabung Kebajikan Pertubuhan dan sebagai hak royalti ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.
Ahli Kehormat ini layak menggunakan crest (tanda lambang) pertubuhan mengikut kelas-kelas seperti yang tertera dalam Undang-Undangn Kecil Pertubuhan, di bawah Rumpun Biro Kehormat.
Matlamat dan objektif utama pertubuhan ialah bertindak sebagai pertubuhan yang taat kepada raja dan pemerintah serta akan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, sekali gus mempertahankan orang Melayu dan agama Islam serta menjaga sejarah Ilmu ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.
Maka, ini merupakan sinonim dengan pedagang-pedagang dan sejarah kembali pada kurun ini dan mereka mampu untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti mana berikut dalam bacaan bai’ah taat setia yang akan dibaca setiap kali majlis rasmi pertubuhan ini.
Secara peribadi juga, Kak Lah mempunyai beberapa kerabat angkat yang terdiri daripada bangsa Cina. Keakraban hubungan terjalin erat walaupun berlainan bangsa dan agama, yang mana Kak Lah lebih mesra dipanggil “Kakak”. Antaranya ialah Liew Khee Yaw, Ding Yee Wong, Law Keng Chow dan Yap Wai Hong.
Bab 5: Anugerah Doktor Falsafah Kehormat
Kegiatan Kak Lah dalam bidang sejarah, warisan dan kemasyarakatan melalui pelbagai pertubuhan seperti Bumi Rahmat dan Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, telah mendapat perhatian sebuah institusi antarabangsa. Asian Institute of Management Science, telah menganugerahkan Doctor of Philosophy Honoris Causa in Social and Anthrolopology kepada Kak Lah dalam sebuah majlis anugerah yang berlangsung pada 27 Jun 2013 di Hotel Palace of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Dr. Max Douglas dari Lycum of Americas, registered witn UN UNESCO. Dengnan penganugerahan itu, Kak Lah diterima sebagai Fellow kepada institut itu. Ini adalah satu pengiktirafan terbesar dari sebuah institut atas kerja-kerja Kak Lah dalam bidang warisan dan kemasyarakatan Malaysia.
Penganugerahan adalah satu pelengkap kepada segala penat lelahnya mendokong pesanan Mak Bonda, yang telah mewariskan ilmu mencintai tanah air, kepimpinan dan penyerahan diri kepada Allah kepada dirinya. Keikhlasan hatinya melaksanakan pesanan Mak Bonda akhirnya diiktiraf dunia.
Pilihan Raya Kecil N.06 DUN Chempaka, Kelantan Darul Naim 2015
Chempaka merupakan sebuah pekan yang terletak di negeri Kelantan. DUN Chempaka dengan keluasan 29.75 kilometer persegi meliputi beberapa daerah mengundi termasuk Chempaka, Tanjung Baru, Che Deris, Kampung Pulau Panjang, Teluk Kitang, Tebing Tinggi, Sabak, Pulau Gajah, Baung dan Pengkalan Nangka. Chempaka merupakan satu daripada tiga DUN yang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa dan dua lagi DUN ialah Panchor dan Kijang.
Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Chempaka diadakan selepas mantan Menteri Besar Kelantan, yang juga ADUN kawasan itu yang memegang selama lima penggal, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari parti Pas meninggal dunia pada 12 Februari 2015 akibat kanser prostat.
Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan satu PRK akan diadakan, iaitu penamaan calon 10 Mac 2015, pengundian awal 18 Mac dan hari mengundi 22 Mac. Timbalan Ketua Jajahan, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Ibrahim bin Mat Deris telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Chempaka dan dibantu dua Penolong Pegawai Pengurus PRK.
Kak Lah tidak pernah bergiat aktif dalam mana-mana parti sebelum ini. Namun, beliau amat mengambil berat akan kepimpinan negara. Memandangkan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon dalam PRK itu, Kak Lah telah menyuarakan hasrat kepada AJK Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia untuk menyertai PRK itu.

Hakikatnya, ketika itu Kak Lah tidak mempunyai wang yang mencukupi dan dalam begnya pada masa itu hanya ada RM10 sahaja. Namun, inilah yang dinamakan perjuangan yang tulen. Kak Lah dengan ditemani beberapa AJKnya telah pergi ke pejabat SPR di Aras 9, Wisma Persekutuan, Kota Bharu untuk membeli Borang Penamaan Calon dengan harga RM20 satu set.
Ini merupakan kemuncak kegiatan Kak Lah berkecimpung dalam membela agama, bangsa dan negara, Kak Lah telah bertanding dalam PRK DUN Chempaka. Pertandingan empat penjuru itu penting kerana Kak Lah adalah satu-satunya calon wanita dari NGO. Kak Lah menyerahkan dirinya kepada pengundi.
Ternyata untuk menyatukan ummah adalah sangat baik kerana perpecahan orang Islam yang sangat ketara, adalah satu tema yang patut disokong bagi menyatukan kekuatan ummah. Namun, Pas yang memang mendominasi kawasan itu sejak berdekad lalu, memang dijangka memenangi PRK itu.
Kak Lah sedia maklum, sebagai calon bagi pilihan raya, terutama melibatkan perbelanjaan yang banyak termasuk deposit calon RM5,000, deposit bahan kempen RM3,000, bahan bercetak, perbelanjaan makan dan minum jentera, minyak kenderaan, sewa bilik Gerakan dan banyak lagi.
Justeru, Kak Lah bersama Timbalan Yang Dipertua PKPRCSWKM telah pergi ke Kuantan untuk berjumpa rakan perniagaan berbangsa Cina, iaitu seorang pengusaha lombong yang juga adik beradik angkat Kak Lah untuk meminta bantuan. Beliau telah membantu Kak Lah dengan memberikan sumber kewangan yang diperlukan berjumlah RM95,000.
Memandangkan Kak Lah tidak pernah menjadi calon mana-mana parti sebelum ini, pelbagai cabaran perlu dihadapi bermula dari pengisian borang penamaan calon. Dengan bantuan AJK PKPRCSWKM dan rakan-rakan, permasalahan tersebut dapat diatasi dengan mudah. ‘
Dari awal lagi Kak Lah sedar, DUN Chempaka adalah antara kubu terkuat Pas di Malaysia. Namun, digagahi juga demi perjuangan. Memang atau kalah adat bertanding. Bagi Kak Lah, “kalah dalam tangan, menang itu bonus”. Itulah ungkapan yang sering diutarakan apabila ditanya pelbagai pihak mengenai hasrat beliau bertanding.
Kak Lah mengumumkan hasrat bertanding PRK DUN Chempaka di hadapan wartawan ketika menyertai Seminar Raja dan Kerajaan Perlis (SiRAJ) Kali Ketiga anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 26 Februari 2015 di Dewan Seminar Dato’ Hasan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Penamaan calon telah diadakan pada 10 Mac 2015 di Dewan Bitara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pengkalan Chepa. Kak Lah dengan ditemani adik beradik, AJK PKPRCSWKM dan teman-teman rapat telah sampai lebih awal. Ketika itu MRSM dipenuhi para penyokong Pas yang datang dari pelbagai negeri berdasarkan sepanduk yang dipegang mereka.
Namun, apa yang berlaku di persekitaran tidak sedikit pun mengubah keputusan Kak Lah. Walaupun telah tersebar khabar angin mendakwa Kak Lah menarik diri pada saat akhir. Itulah Kak Lah, beliau nekad dengan keputusan yang telah dibuat selaras dengan kata-katanya, “kalah dalam tangan, menang adalah bonus”.
Dalam pertandingan sebagai calon Bebas, Kak Lah telah memilih simbol Kunci. Mulanya Kak Lah mahu guna simbol Gajah, tetapi telah diambil oleh calon bebas yang mendaftar lebih awal. Bagi Kak Lah, kunci memberi pengertian yang amat jelas. Peranan kunci itu sendiri amat penting, iaitu untuk membuka pintu, perlukan kunci.
Dengan penyertaan Kak Lah dalam PRK DUN Chempaka, maka bermulalah era Kak Lah melibatkan diri dalam politik, walaupun sebagai calon bebas. Namun, Kak Lah tidak seperti calon lain, berceramah bertemu pengundi meraih undi. Pendekatan dibawa Kak Lah berbeza. Beliau bersama jentera telah menyewa rumah tumpangan sebagai tempat operasi kempen.
Sebagai ahli Umno cawangan Kampung Semut Api, Tumpat, Kak Lah akur dengan tindakan dikenakan parti terhadapnya yang keahlian digugurkan kerana bertanding atas tiket bebas. Bagi Kak Lah, yang penting beliau dapat menggunakan platform politik untuk berdepan dengan masyarakat bagi membangkitkan semangat kaum Melayu agar kembali bersatu demi perpaduan ummah. – NasionalDaily
Bersambung
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252