SEPANG – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyelar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkaitan isu sumbangan dana syarikat arak ke sekolah Cina.
Beberapa pemimpinnya termasuk Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Mohamed Shahrin Ismail menyifatkan kenyataan Setiausaha DAP itu sebagai bergurau di siang hari.
Beliau bertegas, pemimpin kanan DAP itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana akan memburukkan lagi imej Kementerian Pendidikan (KPM).
“Putra menerusi Bahagian Sepang menyelar menteri berkenaan dan kita beri peringatan, jangan jadikan isu sekolah Cina menerima dana dari syarikat minuman keras sebagai perkara biasa yang diamalkan sejak puluhan tahun dahulu.
“Apakah pendiriannya itu menepati garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan bagi semua sekolah dan tidak diguna pakai untuk sekolah Cina?
“Jelas surat pekeliling dikeluarkan KPM bermaksud semua sekolah, tidak kira apa aliran sekalipun tidak dibenarkan menerima apa-apa dana atau sumbangan sama ada dari syarikat minuman keras, syarikat judi mahupun syarikat rokok.
“Putra Bahagian Sepang amat kesal dan merasa bimbang mengenai isu penerimaan sumbangan dari syarikat arak ini kepada sebuah sekolah Cina di Sepang untuk menganjurkan konsert amal,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Sementara itu, Exco Wira Putra Selangor yang juga Ketua Wira Putra Bahagian Sepang, Mohamad Aidil Ruzaimi melihat perkara itu amat serius kerana akibat dari normalisasi penerimaan sumbangan begitu akan diikuti sekolah lain.
Malah, ujarnya, tindakan itu juga melanggar prinsip adab dan melibatkan intergriti yang tidak menepati tata kelola institusi pendidikan, yang mana seawal di sekolah rendah telah didedahkan dengan kebersamaan penerimaan sumbangan dari syarikat arak.
“Tidak takutkah kita membiasakan pendedahan golongan kanak-kanak kepada penerimaan sumbangan begini yang akhirnya membibitkan rasa selesa mereka pada perkara negatif ini?” soalnya.
Exco Wiranita Putra Selangor yang juga Naib Ketua II Putra Bahagian Sepang, Ruzaimah Jamaluddin berpendapat, menerima sumbangan itu secara tidak langsung menghina budaya dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Katanya, semua agama tidak menyukai tabiat dan amalan meminum arak kerana kesannya kepada masyarakat dan negara amat besar sekali. Tidak cukupkah kita dimalukan oleh sebuah iklan yang mempamerkan sekumpulan belia berpesta di dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu baru-baru ini, yang menggambarkan budaya tidak sihat serta memburukkan imej nama tanah bertuah ini.
Perkara itu turut sipersetujui Ketua Wirawati Putra Bahagian Sepang, Norzahara Fatiha Nordin yang melihat amalan menerima sumbangan dana dari syarikat syarikat arak memberikan imej buruk pada KPM.
“Ia seperti tiada nilai moral dan moraliti yang dibina sejak kemerdekaan oleh KPM tercalar oleh sikap mereka yang tidak acuh serta tidak berpegang pada prinsip kenegaraan,” katanya.
Ahad lalu, dalam Mesyuarat Tahunan 2024 Putra Bahagian Sepang dengan slogan “Pimpinan Berakhlak Membawa Kejayaan Negara”, telah menarik minat 15 NGO berta’aruf bersama barisan kepimpinan parti itu sebagai pemerhati.
Dalam mesyuarat itu juga, semua perwakilan Putra Bahagian berkenaan sebulat suara dengan slogan itu untuk mewujudkan satu generasi negara bangsa berkualiti.
“Untuk mencapai ke arah matlamat itu, seorang pemimpin yang bukan sahaja mempunyai intergriti atau pengalaman luas, mesti juga berakhlak dan menepati pegangan untuk semua agama terutama Islam.
“Sekiranya pemimpin tersebut tidak berakhlak, rosaklah negara kerana mereka adalah cerminan rakyatnya pelbagai lapisan umur yang mahu pembinaan negara ini berkualiti.
“Ini tidak lain, bagi meneruskan tuntutan amanah diberikan oleh rakyat yang inginkan negara terus maju membangun dan komited dalam pembentukan masyarakat berakhlak mulia,” kata Mohamed Shahrin. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252