Lane-Vendy ancaman terbesar Aaron-Wooi Yik

Lane-Vendy ancaman terbesar Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy mampu menjadi ancaman terbesar buat pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam misi mereka memburu pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kedua-dua pasangan itu diundi dalam Kumpulan A bersama beregu lelaki nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan gandingan Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura.

Ketika tumpuan terarah kepada pertemuan antara Aaron-Wooi Yik menentang Wei Keng-Wang Chang namun kelibat Lane-Vendy tidak boleh dipandang mudah.

Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Tan Boon Heong, berkata gandingan Britain itu berpotensi untuk mencipta kejutan sekali gus merencatkan peluang Aaron-Wooi Yik untuk melangkah ke suku akhir.

“Meskipun Aaron-Wooi Yik tewas kepada Wei Keng-Wang Chang, mereka masih ada peluang untuk mara ke suku akhir. Sebab itu, fokus yang lebih perlu diberikan kepada aksi menentang beregu Britain (Lane-Vendy) itu.

“Mereka sudah banyak kali mencipta kejutan menewaskan pasangan utama dunia dan Aaron-Wooi Yik perlu berhati-hati,” kata Boon Heong yang pernah beraksi di Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.

Walaupun Aaron-Wooi Yik berjaya menang empat daripada lima perlawanan dengan Lane-Vendy tetapi mereka tewas di tangan lawan itu dalam pertemuan terakhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mengikut format pertandingan, hanya juara dan naib juara kumpulan akan mara ke suku akhir.

Disebabkan itu, Aaron-Wooi Yik ‘wajib’ menang ke atas Lane-Vendy dan beregu Kanada bagi melangkah ke kelompok lapan terbaik sekali gus meneruskan perjuangan bagi memburu emas di Paris.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya mencipta kejutan pada penampilan sulung mereka di Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lalu apabila membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam pada itu, Boon Heong, berkata status selaku pilihan tidak memberi jaminan kepada mana-mana pasangan dalam temasya besar seperti Olimpik.

“Dulu saya juga beregu nombor satu dunia di Olimpik Beijing 2008 tetapi kalah juga.

“Status itu hanya atas kertas tetapi apabila hari pertandingan, hanya yang berani dan boleh beraksi pada tahap prestasi terbaik akan menang,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *