BERITA UTAMA
Kos tajaan Fan Bingbing sebagai duta pelancongan hampir RM500,000

Kos tajaan Fan Bingbing sebagai duta pelancongan hampir RM500,000

MELAKA – Kos tajaan bagi melantik bintang antarabangsa Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) mencecah RM498,347.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata bagaimanapun kerajaan negeri hanya membelanjakan RM77,850 atau 16 peratus daripada jumlah keseluruhan kos itu manakala selebihnya ditanggung oleh beberapa syarikat swasta lain.

“Kos RM77,850 itu hanya merangkumi kos promosi dan penganjuran program di Melaka manakala RM420,497 pula ditaja oleh beberapa syarikat swasta yang merangkumi penerbangan, penginapan, pengangkutan, kos perkhidmatan profesional dan pemetaan projektor di Encore Melaka,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang ingin tahu kos dikeluarkan kerajaan negeri dalam melantik Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka.

Menjawab soalan tambahan Dr Mohd Aleef tentang pulangan diterima kerajaan negeri, Abdul Razak berkata ia akan dibentangkan selepas kempen TMM2024 berakhir pada 31 Dis ini.

“Tentang pulangan, satu daripada pulangan yang kita nampak secara tak langsung ialah dari segi carian menerusi media sosialnya, Fan Bingbing ada 26 juta pengikut.

“Hampir 1.2 bilion carian mengenai Fan Bingbing sepanjang tiga hari beliau berada di Melaka dan carian untuk Melaka sahaja mencecah 445 juta. Ini satu pulangan yang tinggi kepada kerajaan negeri dengan kos yang rendah.

“Selain itu, Melaka akan menerima enam penerbangan antarabangsa sehari dari China yang akan berkunjung ke negeri ini pada September dan Oktober depan,” katanya.

Fan, yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.

Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, ‘X-Men: Days of Future Past’, selain filem Perancis dan Korea.

Pada 2017, Fan menghiasi kulit majalah Time dan beliau turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *