SHAH ALAM – Sebelum ini media ada melaporkan mengenai seorang pelawak dan isterinya ditahan polis gara-gara berkongsi maklumat siasatan.
Sejak berita itu tersebar, ramai yang tertanya-tanya dan menjadi teka-teki, hingga ada satu media mengaitkan pelawak itu adalah Mamat Sepah.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, 39, tampil mengakui dia dan isteri, Nordiana Ibrahim adalah individu yang dimaksudkan.
Mamat dan isteri juga sudah dibebaskan dan berkata, telah dilayan baik sepanjang tempoh siasatan.
“Ya, memang saya yang ditahan reman berhubung kes tular beberapa hari sebelum ini.
“Alhamdulillah, keadaan saya macam biasa saja, lagipun ia masih dalam peringkat siasatan. Malah, saya berikan kerjasama penuh kepada polis. Tiada timbul sebarang isu atau masalah lain,” katanya seperti dilaporkan MStar.
Isnin lalu, Mamat dan isteri ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam di aplikasi Telegram.
Mamat bagaimanapun, tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes itu, yang mana isterinya dibebaskan dua hari selepas ditahan, manakala pelawak itu pada petang Khamis, semalam.
“Untuk perkara itu, saya rasa lebih baik pihak peguam saya yang bercakap kerana ia berkaitan undang-undang, kan,” katanya ringkas.
Mereka berdua disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Sementara itu, peguam mewakili Mamat, Muhammad Fadhli M. Sutris memberitahu kes berkenaan masih lagi dalam siasatan polis.
Justeru, beliau meminta orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan polis terhadap anak guamnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252