BERITA UTAMA
KESUMA akan lapor SPRM susulan pendedahan PAC

KESUMA akan lapor SPRM susulan pendedahan PAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kepincangan dua sistem pengurusan pekerja asing seperti didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), semalam.

Menterinya, Steven Sim berkata, tindakan itu sejajar dengan syor oleh Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi kepada kementerian berkenaan.

“Sejajar dengan syor Ketua Audit Negara, saya mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan kepada SPRM mengenai penemuan laporan berkenaan, lapor Berita Harian.

“KESUMA mengambil serius laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan PAC yang dibentangkan Parlimen baru-baru ini serta tidak menghalang sekiranya agensi berkaitan untuk melakukan siasatan lanjut terhadap kementerian berkenaan.

“Saya tidak akan berkompromi dengan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media di Dewan Rakyat mendedahkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015 meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama.

Beliau berkata, pembangunan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) oleh KESUMA dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Kabinet pada 26 Ogos 2015.

PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem sama berkonsepkan ‘single window’ sekali gus menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam.

Antara kelemahan lain dikesan PAC berkaitan pengurusan kawalan dokumen pengenalan (ID) dalam sistem FWCMS yang mana terdapat dua ID bukan dalam kalangan pegawai KESUMA dikesan.

Selain itu, terdapat 24 pengguna tidak diperakui yang meluluskan 24 permohonan majikan melalui sistem berkenaan.

Sementara itu, dalam jawapan balasnya mengenai penemuan PAC, Lembaga Pengarah HRD Corp memaklumkan pihaknya melaksanakan tujuh reformasi dalam usaha untuk menambah baik tatakelola organisasi itu tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, berkata tujuh reformasi berkenaan ialah pemansuhan projek Skills Passport tanpa sebarang kos dan kerugian kepada PSMB mahupun kerajaan serta pengasingan ‘Jawatankuasa Risiko dan Audit’ menjadi dua jawatankuasa berbeza iaitu ‘Jawatankuasa Risiko’ dan ‘Jawatankuasa Audit’.

Katanya, setiap jawatankuasa itu dianggotai oleh Ahli Lembaga pengarah berbeza dan akan dipengerusikan oleh dua ahli lembaga bebas bukan eksekutif, berpengalaman dalam bidang utama dalam kedua-dua fungsi itu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai laporan itu, Steven berkata dalam tempoh enam bulan ini, KESUMA sudah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian bagi memastikan tatakelola baik dan proses yang cekap di seluruh kementerian serta agensinya.

“Matlamat saya adalah memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

“Rekayasa KESUMA di peringkat HRD CORP sudah dilaksanakan untuk memastikan isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *