BERITA UTAMA
Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah di Putrajaya Ahad ini

Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah di Putrajaya Ahad ini

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut akan hadir bagi menyemarakkan majlis itu yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”.

Hakimah berkata, kemuncak sambutan tahun baharu kalendar Islam yang dijangka dihadiri 6,000 tetamu itu ialah Titah Diraja oleh Sultan Ibrahim diikuti dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

“Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dipilih berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah serta perkembangan syiar Islam, selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dalam dan luar negara,” katanya.

Mengenai pemilihan tema sambutan, beliau berkata, ia manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW dan sangat signifikan bagi memacu umat Islam di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

“Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berkonsepkan al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Hakimah berkata, majlis itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh beberapa stesen televisyen serta radio tempatan antaranya TV al-Hijrah, radio Nasional FM, Bernama Radio dan Web TV JAKIM.

Berkongsi mengenai aktiviti sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, beliau berkata, majlis bacaan doa akhir dan awal tahun akan diadakan di Masjid Putra, di sini, esok pada 7 malam yang akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, bacaan doa akhir dan awal tahun itu akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali.

“Harapan saya, semoga sambutan Maal Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *