BERITA UTAMA
Pelajar tahfiz, qiraat Malaysia dipelawa sambung belajar di Mesir - Sheikh Al-Azhar

Pelajar tahfiz, qiraat Malaysia dipelawa sambung belajar di Mesir – Sheikh Al-Azhar

KUALA LUMPUR – Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb mempelawa pelajar Malaysia dalam bidang tahfiz al-Quran dan Qiraat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Kampus Tanta, Mesir.

“Saya sangat gembira melihat perkembangan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia. Kini hampir 7,000 pelajar Malaysia menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang di Mesir.

“Oleh itu, saya ingin mempelawa pelajar lepasan Darul Quran dan maahad tahfiz al-Quran yang lain di Malaysia untuk menyambung pelajaran bukan sahaja di Maahad Qiraat Shoubra, malah ke Kulliyyah Al-Quran Al-Karim di Tanta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis lawatan kerja ke Darul Quran JAKIM di Kuala Kubu Bharu, pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff; Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr; mufti dan para pegawai agama lepasan universiti berkenaan.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapannya menyatakan harapan agar kunjungan Sheikh Al-Azhar dapat membuka peluang lebih luas kepada graduan Darul Quran JAKIM untuk melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang lain, selain Qiraat di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Dalam ucapannya, Sheikh Al-Azhar mengingatkan orang ramai mengenai aliran hermeneutik dalam mentafsirkan makna ayat al-Quran dan golongan Quraniyyun yang menimbulkan keraguan terhadap kebenaran hadis Rasulullah, yang jika dibiarkan akan menghilangkan tiga perempat ajaran agama Islam.

Sementara itu, Sheikh Al-Azhar juga mendoakan keselamatan rakyat Palestin dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Semoga dengan keberkatan al-Quran al-Karim, Allah kurniakan kemenangan kepada masyarakat Palestin yang teguh mempertahankan tanah air mereka dan semoga Allah memelihara Malaysia dan rakyatnya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sambutan dan layanan yang diterima semasa lawatannya ke Malaysia.

Sheikh Al-Azhar yang kini dalam rangka lawatan khas tiga hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia dan Republik Arab Mesir. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *