BERITA UTAMA
Mangsa sindiket pemerdagangan manusia berulang kerana tamak - MHO

Mangsa sindiket pemerdagangan manusia berulang kerana tamak – MHO

KUALA LUMPUR – Ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang diselamatkan selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia kembali semula ke negara terbabit disebabkan sikap tamak.

Perkara itu didedahkan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berdasarkan dapatan pihaknya yang turut terbabit secara langsung dalam misi menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia sejak 2021.

Daniel berkata, sejak tempoh itu, lebih 20 misi membawa pulang rakyat Malaysia dijalankan MHO dengan kerjasama kerajaan menerusi Wisma Putra, pihak kedutaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Memang ada mangsa yang diselamatkan kembali semula bekerja bersama sindiket berkenaan, tetapi jumlahnya rendah berbanding keseluruhan mereka yang diselamatkan.

“Berdasarkan maklumat daripada mangsa sendiri, mereka ini terpedaya dengan sindiket penipuan kerja luar negara kerana tamak dan mahu memperoleh wang dengan cara mudah.

“Kebanyakannya terpengaruh dengan iklan tawaran pekerjaan di laman sosial, selain ada juga pengaruh rakan yang mengajak mereka bekerja di luar, contohnya di Thailand yang menawarkan gaji sekitar RM5,000 seminggu sebelum akhirnya menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia yang dikatakan menjadi mangsa pemerdagangan manusia bukanlah mangsa sebenar, sebaliknya terbabit dalam sindiket jenayah penipuan di luar negara.

Daniel berkata, berdasarkan pengalaman, pihaknya mendapati tiada kes sedemikian berlaku dan hanya kes mangsa yang kembali semula ke negara seperti Myanmar, Filipina, Kemboja dan Thailand untuk bekerja dengan sindiket sama.

“Kami cadangkan kerajaan menyenarai hitam pasport bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada mangsa pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan sebagai pengajaran dan mengelak mereka mengulanginya.

“Selain itu, kerajaan turut dicadangkan supaya memperhebat kempen kesedaran dan memperketatkan perjalanan keluar ke negara berisiko dengan kes sindiket penipuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dilaporkan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh polis ketika pembentangan laporan pemerdagangan manusia dalam Mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) pada 26 Februari lalu.

Beliau berkata, individu yang dikatakan menjadi mangsa turut menjawat jawatan tinggi di syarikat mereka bekerja dan ada yang bekerja secara sukarela di negara terbabit.

“Jadi, ia bukan penipuan dari segi kerja secara amnya, mereka adalah penjenayah yang terbabit dalam sindiket penipuan. Apabila hadapi masalah didera oleh majikan atas faktor lain, tidak dibenarkan balik, barulah mereka tampil ke hadapan buat laporan kononnya mereka ditipu.

“Tetapi, mereka adalah sebahagian daripada operator sindiket penipuan kerja ini. Ini laporan polis yang kita terima,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, kelmarin.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam membendung masalah kes pemerdagangan rakyat Malaysia.

Khoo sebelum itu mencadangkan supaya pemantauan dibuat terhadap rakyat Malaysia yang mendapat tawaran pekerjaan di luar negara, memperhebat kempen kesedaran berhubung aktiviti pemerdagangan manusia serta meningkatkan kerjasama negara Asean dalam membanteras isu itu.

Berdasarkan pemerhatian, Mohamad berkata, bilangan laporan diterima juga menunjukkan penurunan dalam trend semasa, namun sedar terdapat warga Malaysia yang masih bekerja dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, sindiket itu beroperasi merekrut rakyat Malaysia melalui medium pengiklanan media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp untuk bekerja di luar negara dengan tawaran menarik seperti gaji lumayan, tambang penerbangan serta penginapan percuma, selain kebebasan berjudi secara pinjaman.

“Apabila sampai di destinasi, mereka akan bekerja sebagai scammer dan melakukan operasi penipuan secara dalam talian melalui pelbagai cara termasuk love scam dan Macau scam atau mengendalikan online casino,” katanya.

Mohamad berkata, setakat 10 Jun lalu, Kementerian Luar dengan kerjasama polis dan pihak berkuasa negara berkenaan telah menyelamatkan 659 rakyat Malaysia yang terbabit dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Seramai 187 lagi sedang dijejaki menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terbabit adalah 846 orang dan jumlah ini berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis serta individu itu sendiri,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *