BERITA UTAMA
Annuar Nasarah

KDN ingatkan pegawai, anggota penguat kuasa tidak sebar siasatan dalaman

ALOR GAJAH – Pegawai dan anggota penguat kuasa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan supaya tidak menyebarkan kepada umum sebarang siasatan dalaman yang dilaksanakan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, mana-mana pegawai atau anggota yang dikesan menyebarkan laporan siasatan dalaman boleh dihukum mengikut undang-undang sedia ada.

“Apa juga kesalahan dilakukan (oleh pegawai dan anggota penguat kuasa) tentulah tindakan akan diambil berasaskan kepada peraturan yang ada.

“Penting juga kepada rakyat, apa-apa isu diterima, rujuklah kepada saluran maklumat yang tepat, itu lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-52 peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad, Akademi RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah RELA Yahya Sulaiman.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini dilaporkan berkata, satu laporan polis dibuat pegawai penyiasat kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Ahad lalu, susulan penyebaran beberapa gambar dikatakan mayat kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Beliau dipetik sebagai berkata, laporan dibuat bersabit penyebaran dokumen siasatan yang akan digunakan dalam perbicaraan di mahkamah menerusi aplikasi Telegram. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *