BERITA UTAMA
Kes tembak di KLIA: Sebutan semula kes Hafizul Hawari 11 Ogos

Kes tembak di KLIA: Sebutan semula kes Hafizul Hawari 11 Ogos

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menetapkan 11 Ogos ini sebutan semula pengurusan kes melibatkan seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Hakim, Zulkifli Abllah menetapkan tarikh itu bagi mengetahui status kes tertuduh, Hafizul Hawari, 38, untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor.

Hafizul diwakili peguam bela, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad.

Nik Mohd Faris pada prosiding itu berkata, pihaknya memohon untuk memindahkan kes tersebut kerana tertuduh berdepan pertuduhan lain di Selangor iaitu membabitkan dakwaan cubaan membunuh.

“Tertuduh kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan kami menunggu kes-kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki pistol tertulis Glock 19 Austria Made In Turkey dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada jam 2 petang 15 April lalu, lapor AWANI.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada tuduhan kedua, tertuduh didakwa ada dalam milikannya iaitu 33 butir amunisi atau peluru mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pada tuduhan ketiga, tertuduh didakwa ada dalam milikannya sebungkus plastik mengandungi mercun bola mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada pertuduhan keempat, lima dan enam, tertuduh didakwa memiliki tiga MyKad milik tiga individu berbeza berusia 29,34 dan 35 tahun dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sabit kesalahan bawah peraturan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimun tiga tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya.

Pada pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara selama minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Hafizul ditahan selepas didakwa cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, dengan melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 14 April lalu.

Tembakan bagaimanapun terkena pengawal peribadi wanita itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, yang mendapat kecederaan di bahagian perut. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *