BERITA UTAMA
Russia bersedia untuk rundingan damai dengan Ukraine - Putin

Russia bersedia untuk rundingan damai dengan Ukraine – Putin

MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin, semalam menegaskan Moscow bersedia mengadakan rundingan damai dengan Ukraine pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Atas dasar perjanjian yang dicapai ketika rundingan sukar hampir sebulan setengah di Istanbul dan Minsk… kami bersedia meneruskan dialog dengan pihak Ukraine… tidak kira di mana ia diadakan, di Minsk, Istanbul atau Switzerland… malah esok,” tegasnya, pada sidang media di ibu negara Vietnam, Hanoi.

Putin berkata beliau menjangkakan Barat akan menentang inisiatif damainya di Ukraine dan mempersoalkan cadangan Russia itu dengan mendakwa sebagai tidak realistik, manakala tiada pihak yang mengkritik cara sama Ukraine, mengandungi syarat tidak boleh diterima Moscow.

Beliau berkata ahli politik yang waras akan memikirkan cadangan Russia mengenai Ukraine jika mereka mahu menamatkan konflik, sambil memberi amaran keadaan mungkin berubah bergantung situasi di medan perang.

“Saya tidak fikir nihilisme sebegini berhubung cadangan kami akan kekal selama-lamanya. Yang pasti, sesuatu akan berubah, termasuk keadaan kami, bergantung keadaan di lapangan,” katanya.

(Nihilisme ialah kepercayaan bahawa semua nilai adalah tidak berasas dan tiada apa boleh diketahui atau disampaikan.)

Portal berita Anadolu Agency melaporkan penegasan Putin bahawa jika Kyiv mengaitkan permulaan rundingan damai dengan pengunduran tentera Russia dari Ukraine, maka rundingan tidak akan berlaku.

Mengenai ‘nasib’ Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, Putin menjangkakan Zelenskyy akan digantikan Barat pada separuh pertama 2025.

Menjawab soalan mengenai serangan balas Ukraine di wilayah Kharkiv, Putin berkata tentera Russia sedang mempertimbangkan semua senario yang mungkin berlaku.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg mengenai untuk meletakkan pasukan nuklear perikatan dalam keadaan berjaga-jaga, Putin berkata Russia sedang memantau dengan teliti niat sedemikian dan akan bertindak balas secukupnya jika sesuatu berlaku.

Presiden Russia itu juga menyatakan pihak berkuasa negara itu sedang memikirkan perubahan kepada doktrin nuklear kerana ‘pihak lawan’ menurunkan ambang untuk penggunaan senjata nuklear.

“Ini disebabkan oleh fakta bahawa unsur-unsur baharu muncul … berkaitan dengan menurunkan ambang untuk penggunaan senjata nuklear. Khususnya, peranti nuklear letupan ultra-rendah sedang dibangunkan. … ia mungkin tidak menakutkan tetapi kita perlu memberi perhatian kepada perkara ini,” tegasnya.

Ditanya sama ada Moscow merancang untuk memasukkan serangan nuklear awal dalam edisi baharu doktrin itu, presiden berkata “tidak perlu,” menjelaskan bahawa tentera Russia mampu menangkis serangan lawan “dalam serangan balas.”

“Tidak perlu buat serangan awal setakat ini kerana lawan sudah pasti akan musnah dalam serangan balas,” katanya.

Mengulas Perjanjian Perkongsian Komprehensif Russia-Korea Utara yang ditandatangani Rabu lalu, Putin hairan mengapa ia dianggap tidak baik di Barat, dengan menyatakan bahawa perjanjian itu mengulangi dokumen 1962 yang telah tamat tempoh.

“Kami hampir tidak mengubah apa-apa dan Republik Demokratik Rakyat Korea mempunyai perjanjian yang sama dengan negara lain,” katanya.

Ditanya mengenai klausa bantuan ketenteraan bersama, Putin menegaskan bahawa ia berkuat kuasa sekiranya berlaku pencerobohan tentera terhadap mana-mana negara, dan tidak terpakai dalam konflik Ukraine.

Mengulas mengenai kebimbangan Korea Selatan terhadap perjanjian baharu Russia-Korea Utara, Putin berkata Seoul “tidak perlu risau,” kerana di bawah perjanjian itu bantuan ketenteraan hanya boleh diberikan jika ada yang menyerang Pyongyang.

“Setahu saya, Republik Korea tidak merancang pencerobohan terhadap Republik Rakyat Demokratik Korea, bermakna tidak perlu takut dengan kerjasama kita dalam bidang ini,” tegasnya.

Presiden Russia memberi amaran kepada Seoul mengenai bekalan senjata ke Ukraine, berkata jika keputusan yang berkaitan dibuat, Moscow akan mengambil langkah yang “tidak akan disukai” oleh kepemimpinan Korea Selatan.

Putin membandingkan sekatan terhadap Korea Utara dengan Pengepungan Leningrad, apabila lebih dua juta orang mati kerana kelaparan ketika orang Jerman menyekat semua bekalan makanan ke bandar itu. – AGENSI

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *