Perahuku Masih Belajar, buku kedua Pian HI padat dengan motivasi, nasihat

Perahuku Masih Belayar, buku kedua Pian HI padat dengan motivasi, nasihat

SIAPA tidak kenal dengan Supian Hassan atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Supian Hanuman Ikan.

Setiap penulis, baik dalam genre apa sekali pun, nama samaran atau nama pena lebih termasyhur daripada memakai nama sendiri. Dan nama-nama pena itulah yang memenuhi dada akhbar serta media sosial.

Supian Hanuman Ikan atau Pian HI, antara penggiat seni, sastera dan budaya yang tidak asing lagi di Kelantan, bumi Cik Siti Wan Kembang dengan lagu-lagu juara, lagu karut dan lagu dikir barat yang dihasilkannya.

Antara buku pertama beliau, “Lirikku Lukisan Jiwaku” cetakan pertama pada pertengahan tahun 2021 mendapat sambutan menggalakkan di kalangan peminat dikir barat.

Namun, tidak berakhir di situ, Pian HI dalam diam-diam menerbitkan buku keduanya bertajuk, “Perahuku Masih Belayar”, yang memberi erti tersurat bahawa beliau masih aktif menulis.

Cuma buku keduanya ini, yang setebal 207 muka surat agak lain dari buku pertamanya, “Lirikku Lukisan Jiwaku” yang mengandungi lirik lagu dikir barat nyanyian pendikir ternama seperti Allahyarham Megat Nordin, Allahyarham Zaidi Buloh Perindu dan ramai ini.

Buku “Perahuku Masih Belayar” mengandungi kata-kata hikmah, kata-kata pujangga, kata-kata motivasi yang dikumpul sepanjang kariernya dalam dunia seni, sastera dan budaya.

Penulis, turut memiliki buku ini yang dijual dengan harga RM38 senaskhah termasuk bayaran pos dan boleh dikatakan berbaloi menelaah setiap helai muka surat yang terkandung kata-kata hikmah, yang secara tidak langsung memberikan motivasi kepada pembaca.

“Untuk buku ini, saya kongsikan bait-bait nasihat jika ianya sebuah naskhah yang boleh dijadikan panduan hidup,” antara cetusan Pian HI dalam kata-kata pengantar buku berkenaan.

Bagi penulis, buku “Perahuku Masih Belayar” merupakan satu-satunya metodologi yang bukan calang-calang penulis untuk mengumpul dan menyiapkannya dalam bentuk buku.

Kandungan buku ini, disusun rapi untuk tatapan bukan sahaja kepada peminat seni dan sastera, bahkan pelajar dan penuntut pengajian tinggi juga sesuai memilikinya kerana bait-bait hikmah ini tidak pernah lapuk dek hujan, lekang dek panas.

Ibarat filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang masih diminati semua peringkat usia walaupun sudah melebihi lima dekad, begitu juga buku “Perahuku Masih Belayar”. Ia menggambarkan sebuah perjalanan yang tidak ada penghujung walau dirempuh badai dan ombak.

Rujuk muka surat 33, Pian HI ada menulis, “Pernah ke kita menilai pengorbanan ibu bapa sejak lahir ke dunia sehingga kini, setiap ibu bapa tak pernah meminta hutang, harga membesarkan seorang anak, kalau nak dihitung pasti tak terhitung jumlahnya. Sesisi duniapun tak ternilai.

Bait ini memberi kesedaran kepada kita sebagai sebagai anak, sedewasa mana sekalipun atau seveteran mana sekalipun kita, tetap mempunya ibu dan bapa serta wajar menghargai pengorbanan mereka.

Pian HI juga mengajak kita mendekati Allah SWT menerusi bait-bait hikmah di muka surat 51, “Andai diri berdosa, kembalilah pada Tuhanmu. Berhati-hati semoga tidak diulangi, yang terpenting betulkan kesilapan.

Kata-kata nasihat ini untuk menjelaskan kepada kita, walau hanyut dilambung ombak kehidupan, Allah akhirnya telah kita mengadu minta tunjukkan jalan yang benar dan lurus.

Sebagai penulis yang penuh dengan pengalaman, beliau juga tidak lupa kepada jasa dan peranan guru, ibu bapa, ilmu ketuhanan, cinta, kepahlawanan, peranan seorang anak dan kemasyarakatan.

Pendek kata, semua kandungan yang dibukukan ini mempunyai firasat dan hasrat tersurat lagi tersirat, yang hanya kita sebagai pembaca dapat memahami serta mengutipnya dijadikan sebagai pengalaman dan pengajaran.

Bagi yang berminat untuk memiliki buku “Perahuku Masih Belayar” boleh hubungi Pian HI di talian 017-941 0412. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *