BERITA UTAMA
19 jemaah haji meninggal dunia di Mekah

19 jemaah haji meninggal dunia di Mekah

MEKAH – Sekurang-kurangnya 19 jemaah haji Jordan dan Iran meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji disebabkan cuaca panas di kota suci Mekah, lapor portal berita The New Arab semalam.

Menurut Kementerian Luar Jordan, seramai 14 jemaah haji negara itu meninggal dunia, manakala 17 yang lain hilang semasa melaksanakan ibadat berkenaan.

Kementerian itu kemudian mengesahkan bahawa 14 jemaah haji tersebut meninggal dunia akibat strok haba kesan daripada cuaca panas ekstrem.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand berkata, seramai lima jemaah haji negara itu meninggal dunia di Mekah dan Madinah semasa musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan punca kematian mereka.

Suhu di Mekah pernah melepasi angka 40 darjah Celsius pada musim haji tahun ini yang disertai oleh 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia.

Lebih 10,000 penyakit berkaitan haba pula direkodkan pada tahun lepas dengan 10 peratus daripadanya ialah strok haba, kata seorang pegawai Arab Saudi kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 240 orang, kebanyakan mereka jemaah haji Indonesia meninggal dunia semasa musim haji pada tahun lapas, demikian menurut statistik pelbagai negara tanpa mendedahkan punca kematian mereka. – AGENSI 

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *