BERITA UTAMA
Bintai Kinden peroleh subkontrak RM22.3 j projek rumah 2 tingkat di Johor

Bintai Kinden peroleh subkontrak RM22.3 j projek rumah 2 tingkat di Johor

PETALING JAYA – Bintai Kinden Corporation Berhad (BKCB), pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), pengilang peranti perubatan dan pengendali kemudahan, hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) telah memperoleh dua subkontrak bernilai RM22.3 juta.

Subkontrak itu adalah untuk pembinaan rumah dua tingkat di Mukim Jalan Bakri, Muar, Johor, yang dianugerahkan oleh Lu Chin Poh Construction Sdn. Bhd. (LCPC).

Subkontrak pertama bernilai RM7.6 juta melibatkan pembinaan lapan unit rumah berkembar dua tingkat, manakala subkontrak kedua RM14.7 juta termasuk pembinaan 21 unit rumah berkembar rumah teres bertingkat, kedua-duanya berserta kerja infrastruktur yang berkaitan.

Kedua-dua projek itu mempunyai tempoh pembinaan yang ditetapkan selama 15 bulan dengan jangkaan tarikh siap pada 1 September 2025.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han mengulas, pihaknya gembira memperoleh subkontrak itu yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat dalam tempoh dua tahun kewangan akan datang.

Katanya, projek itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk mengembangkan jejak dalam sektor pembinaan dan memanfaatkan kepakaran bagi menyampaikan penyelesaian kejuruteraan berkualiti.

“Kejayaan projek ini akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Bintai Kinden Corporation Berhad di hadapan, meningkatkan nilai pemegang saham dan memacu pertumbuhan masa depan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 5 petang ini harga saham BKCB ditutup pada 8.5 sen, dengan modal pasaran RM103.7 juta. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *