BERITA UTAMA
Tapak pelupusan sampah di Besut terbakar lagi

Tapak pelupusan sampah di Besut terbakar lagi

BESUT – Tapak pusat pelupusan sampah di Kampung Paya Rawa, di sini sekali lagi terbakar selepas kejadian kali pertama berlaku pada pertengahan Mei lalu, lapor Sinar Harian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh, Azam Mohamad berkata, kejadian berlaku petang Jumaat semalam itu melibatkan kawasan seluas hampir satu hektar.

Menurutnya, pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.50 petang sebelum menggerakkan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi kejadian.

“Hampir satu daripada enam hektar kawasan di tapak pusat pelupusan sampah itu terbakar.

“Anggota bomba kini dibantu pihak syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjalankan kerja pemadaman,” katanya di sini pada Sabtu.

Azam berkata, anggota keselamatan berdepan cabaran sehingga terpaksa menggunakan jengkaut untuk melancarkan proses pemadaman di bahagian bawah timbunan sampah.

Selain itu, katanya, mereka juga turut menggunakan kaedah pemadaman secara terus di kawasan terbakar.

“Kebakaran itu turut menyebabkan asap tebal, ia sedikit sebanyak membataskan pergerakan anggota ketika proses pemadaman.

“Bagaimanapun, kita jangka kebakaran itu dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat,” ujarnya.

Pertengahan bulan lalu, seluas 0.6 hektar pusat pelupusan sampah sama dilaporkan terbakar disyaki akibat cuaca panas yang berterusan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *