IPOH – Sekurang-kurangnya dua daerah di Perak dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Antara kawasan yang terjejas ialah Taman Cempaka Sari di daerah Kinta dan Kampung Baharu Slim Village di Muallim.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APMM) Perak, banjir turut menyebabkan beberapa rumah terjejas teruk dan dinaiki air.
“Hujan lebat berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air longkang dan sungai dipenuhi air sehingga melimpah keluar ke kawasan perumahan dekat Taman Cempaka Sari.
“Pihak APM terima maklumat pada jam 6.29 petang berhubung kejadian itu, terdapat beberapa buah rumah yang terjejas teruk.
“Antara rumah yang terjejas di Persiaran Cempaka Sari meliputi Lorong 7,9 dan 11 manakala Persiaran Cempaka Sari 28 meliputi nombor 1 hingga 35,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Sementara itu, ujarnya, di Muallim pula, sebanyak 10 buah rumah telah dinaiki air.
“Kawasan kediaman dipenuhi air disebabkan hujan berterusan melebihi tiga jam.
“Keadaan air naik hingga ke paras lutut di Kampung Baru Slim Village dan empat daripada rumah tersebut memerlukan pam air,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Selain itu, katanya, APM akan melakukan pemantauan berkala di kawasan tersebut sehingga air surut sepenuhnya.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat beserta angin kencang sehingga jam 8 malam ini.
Agensi itu dalam hantaran di Facebook memaklumkan, amaran cuaca itu di beberapa negeri termasuk Perak dikeluarkan bagi kawasan Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252