KUALA LUMPUR – Go Hub Capital Berhad (Go Hub), penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan utama mengumumkan telah memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd (UOBKH).
Pemeteraian perjanjian itu sebagai persediaan untuk Tawaran Awam Permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), kata Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Chern Thong.
Kata beliau, penyenaraian Go Hub melibatkan terbitan awam 107,180,000 saham biasa baharu dan diperuntukkan seperti berikut 20 juta saham disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia.
“Manakala 12 juta saham dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
“Sementara sebanyak 75,180,000 saham lagi disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi atau terpilih yang dikenal pasti,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, UOBKH akan menaja jamin 32,000,000 saham IPO yang disediakan kepada orang awam dan yang layak sebagai sebahagian daripada perjanjian taja jamin.
IPO ini kata beliau, tidak melibatkan tawaran jualan dan penempatan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai syarikat pengendali, NSS berstatus MSC Malaysia yangn kini dikenali sebagai Status Digital Malaysia.
Chern Thong berkata, pihaknya bersiap sedia untuk mengembangkan jejak teknologi dan penawaran penyelesaian dalam sektor pengangkutan serta IPO itu adalah langkah strategik ke arah itu.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan UOB Kay Hian bagi memudahkan penyenaraian kami di Pasaran ACE.
“Perolehan IPO yang dikumpul terutamanya akan memacu pelan pengembangan perniagaan, yang merangkumi pengembangan keupayaan teknikal dan tenaga kerja kami.
“Matlamat kami adalah untuk mengembangkan penyelesaian IT bagi industri pengangkutan, meningkatkan penglibatan pelanggan melalui transformasi digital dan meneroka peluang baharu dalam pasaran bersebelahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd., David Lim berkata, pihaknya bersemangat untuk bekerjasama dengan Go Hub dalam pelaksanaan penyenaraiannya.
“Prestasi kukuh Go Hub, didorong oleh penyelesaian IT yang inovatif dan komprehensif dalam industri pengangkutan, memberikan peluang pelaburan yang menarik.
“Kami tidak sabar-sabar untuk menyokong perjalanan Go Hub kerana ia beralih kepada syarikat tersenarai awam,” katanya.
Sebagai penyedia perkhidmatan IT khusus yang mantap dalam industri pengangkutan, Go Hub secara konsisten menunjukkan komitmen kukuh ke arah inovasi dan kecemerlangan.
Inisiatif strategik dan kemajuan teknologi kumpulan telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam mengubah landskap pengangkutan Malaysia. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252