BERITA UTAMA
Tentera Israel mengesahkan kematian empat lagi individu yang menjadi tebusan Hamas

Israel sahkan kematian empat tebusan di Gaza

BAITULMAQDIS – Tentera Israel mengesahkan kematian empat lagi individu yang menjadi tebusan Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu.

Katanya, kesemua mereka terkorban ketika operasi kententeraan Israel di Khan Younis di selatan Gaza dan mayat mereka masih ditahan Hamas.

Mereka dikenal pasti sebagai warga British-Israel Nadav Popplewell, 51, Chaim Peri, 79, Yoram Metzger, 80 dan Amiram Cooper, 85.

Ketua jurucakap tentera Israel (IDF) Laksamana Muda Daniel Hagari berkata pengesahan itu dilakukan selepas beberapa minggu perisikan dilakukan.

“Penilaian yang kami lakukan mendapati keempat-empat individu ini terkorban di Khan Younis semasa operasi ketenteraan kami menentang Hamas,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Bulan lepas, Hamas mendakwa Nadav Popplewell terbunuh dalam serangan Israel pada April lalu.

Kementerian Luar Negeri Britain berkata perkara itu masih disiasat namun tiada pengesahan tentang kematiannya sehingga kini.

Hamas turut menyiarkan sebuah video menunjukkan tiga daripada mereka pada bulan Disember tahun lalu.

Kesemua mereka ditahan di sebuah pusat komuniti berdekatan dengan Semenanjung Gaza pada 7 Oktober.

Dalam satu kenyataan di Forum Keluarga Tebusan, ahli keluarga berkata berita kematian keempat-empat individu itu harus “memberi kesedaran kepada setiap pemimpin”.

“Chaim, Yoram, Amiram dan Nadav ditahan ketika masih hidup dan ditempatkan bersama tebusan yang lain, sebahagian daripada mereka telah dikembalikan dalam perjanjian sebelum ini.

“Mereka sepatutnya dikembalikan dalam keadaan masih hidup kepada negara dan keluarga mereka,” tambah kenyataan itu.

Menteri Luar Negeri United Kingdom David Cameron berkata dalam catatan terbaharu di akaun media sosial X miliknya, beliau “sangat sedih” dengan berita kematian Nadav Popplewell.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Popplewell dan berharap mereka bertabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Nadav Popplewell ditahan di rumahnya bersama ibunya yang telah dibebaskan.

Adiknya Roy bagaimanapun terbunuh dalam kejadian itu.

Serangan Hamas pada 7 Oktober mengorbankan seramai 1,200 individu manakala 251 yang lain telah diambil sebagai tebusan, menurut pihak berkuasa Israel.

Seramai 105 orang awam telah dibebaskan ketika gencatan senjata selama seminggu pada November lalu.

Kira-kira 120 tebusan yang lain masih tidak dapat dikesan dan pihak berkuasa Israel berkata mereka dianggap telah terkorban.

Susulan kejadian pada 7 Oktober, Israel melancarkan kempen ketenteraan untuk menghapuskan Hamas.

Sekurang-kurangnya 36,470 rakyat Palestin terkorban selama perang lapan bulan ke atas Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *