SHAH ALAM – Sikap tidak bertanggungjawab salah satu daripada kilang di kawasan Perindustrian di Jalan Omboh di sini, membuang cat menyebabkan aliran air di longkang berhampiran bertukar warna biru.
Perbuatan itu dikesan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam di kawasan Jalan Sellathevan, Klang menyebabkan pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bergegas ke lokasi.
LUAS berkata, siasatan dilakukan sekitar kawasan berhampiran bagi menjejaki punca sebenar.
“Semakan lanjut mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran memasuki longkang berhampiran yang seterusnya mengalir ke dalam Sungai Kandis.
“LUAS melakukan pensampelan kualiti air dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Susulan itu katanya, tindakan lanjut diambil dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.
Keadaan air longkang di kawasan perindustrian bertukar biru disyaki akibat pembuangan cat ke dalam aliran air
Pada masa sama, agensi itu juga berkomunikasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi.
“Kerajaan Selangor dan LUAS menegaskan dan menyeru kepada semua pemilik premis atau tapak industri agar sedar, cakna dan prihatin terhadap aktiviti di tapak.
“Pastikan aktiviti, operasi, keselamatan dan penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan dipantau dengan sempurna supaya tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai,” katanya.
Menurutnya, tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252