BERITA UTAMA

Pahang berjaya noktahkan kemiskinan tegar – MB

KUANTAN – Pahang berjaya menoktahkan kemiskinan tegar semalam, selari dengan aspirasi kerajaan sebelum ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, sebanyak 1,946 ketua isu rumah yang direkodkan berada dalam golongan miskin tegar sebelum ini, berjaya melonjakkan pendapatan mereka, sekali gus terkeluar daripada kategori berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya kemiskinan tegar ini sangat subjektif dan ia boleh berubah pada masa akan datang, tetapi kerajaan negeri akan terus fokus dengan melakukan pemantauan.

“Bila ada data menunjukkan bilangan miskin tegar sebelum ini, kita minta pejabat pembangunan negeri pantau untuk lihat apa yang kita boleh tolong mereka (golongan miskin tegar),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kadar kemiskinan tegar di Pahang.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada 99 individu melibatkan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy sebelum ini dilaporkan berkata, jumlah miskin tegar pada 3 Januari 2023 seramai 4,968 orang dan menurun kepada 1,946 pada 31 Disember tahun sama.

Beliau berkata, pencapaian itu hasil usaha pelbagai pihak termasuk inisiatif daripada kerajaan pusat dan negeri menerusi bantuan yang disalurkan.

“Misalnya di Pahang, kerajaan negeri telah menyalurkan antaranya Bantuan Prihatin Pahang, skim I-PUSH (pembiayaan kewangan usahawan mikro), bantuan rumah rakyat Pahang serta kad kesihatan yang turut menyumbang dalam membantu mengeluarkan mereka daripada putaran ganas kemiskinan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata Kerajaan Perpaduan berhasrat menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Mengenai prestasi Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang mencipta sejarah apabila muncul sekolah terbaik keputusan SPM 2023 diumumkan Isnin lepas, Wan Rosdy berkata ia merupakan usaha pelbagai pihak terutamanya pelajar sendiri di samping guru yang berkualiti. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *