BERITA UTAMA

Keputusan SPM 6A, pelajar hidap angin ahmar ingin jadi guru

KOTA BHARU – Demi menggapai cita-cita sebagai guru, seorang pelajar nekad menghabiskan tempoh persekolahan meskipun dalam keadaan tubuhnya yang lemah akibat serangan angin ahmar lima tahun lepas, hingga akhirnya berjaya meraih keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Siti Nur Amalin Kamal, 18, berkata dia diserang angin ahmar pada awal 2019 dan terpaksa ditidurkan hampir tiga bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum kembali ke sekolah setahun kemudian.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu, pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk berulang-alik ke sekolah memandangkan keadaan tubuhnya yang masih lemah dan memerlukan bantuan orang sekeliling, selain perlu menggunakan tongkat sebagai alat sokongan.

“Bagaimanapun, dengan sokongan yang kuat daripada ibu, Hasmawati Mohamad, 50 dan bapa, Kamal Samsul, 57 serta guru dan rakan-rakan saya kembali bersemangat untuk ke sekolah biarpun pernah putus harapan.

“Setiap hari, ibu atau bapa akan menghantar saya hingga ke kelas untuk membawa barang-barang persekolahan termasuk buku kerana saya tidak berupaya membawanya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini hari ini.

Siti Nur Amalin yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke institut pendidikan guru (IPG), bersyukur kerana keadaan kesihatannya semakin hari menunjukkan perubahan lebih baik walaupun masih belum sembuh sepenuhnya.

Menurutnya bagi persediaan menduduki SPM tahun lepas, dia memilih untuk mengulang kaji pelajaran secara bersendirian selain membuat latihan dan sentiasa fokus ketika guru mengajar.

“Alhamdulillah keadaan saya kini bertambah baik walaupun seluruh badan sebelah kanan masih lemah dan memerlukan tongkat, malah rakan-rakan sering membantu sekiranya perlu ke makmal atau sebagainya,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *