BERITA UTAMA

Salakan anjing menemukan mayat dalam longkang

ALOR SETAR – Salakan mencurigakan seekor anjing, membawa tuannya ke satu lokasi di mana ditemukan sekujur mayat dalam keadaan tertiarap.

Mayat yang dikenali pasti jantina lelaki itu ditemui dalam longkang di Taman Derga Jaya, di sini kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad, pihaknya menerima laporan daripada saksi yang ketika itu sedang berjalan bersama anjingnya.

Katanya, ketika itu, anjing beliau menyalak tidak henti-henti dan membawanya ke tempat penutup besi dalam longkang.

“Saksi membuka penutup besi dan terkejut melihat satu mayat tertiarap dalam longkang dan terus menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Siti Nor Salawati berkata, polis menemui barangan peribadi termasuk kad pengenalan dan menghubungi ahli keluarganya yang terus ke lokasi kejadian dan membuat pengesahan mayat mangsa.

Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa keluar rumah pada jam 3.30 petang semalam tanpa memaklumkan arah tujuannya.

Menurut beliau, mangsa yang berusia 58 tahun itu mempunyai sejarah penyakit Parkinson dan mengalami masalah mental sejak 13 tahun lalu.

“Hasil siasatan ke atas tubuh mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *