KUALA LUMPUR – Keputusan PKR merombak Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan bukan berpunca daripada konflik dalaman.
Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu berdasarkan keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu meringankan beban dipikul mereka terlibat, yang turut menggalas tanggungjawab sebagai menteri.
“Saya sebelum ini diberi tanggungjawab untuk memimpin di Kelantan dan Terengganu, sekarang bila dah pegang tampuk kerajaan termasuk Rafizi, Chang Lih Kang, Aminuddin Harun jaga Melaka dan Amirudin Shari dipertanggungjawabkan untuk menjaga Pahang.
“Jadi, tanggungjawab dah jadi agak berat, sebab itu Perdana Menteri cakap ‘back to normal practise’ yang mana negeri-negeri yang dirombak dipimpin oleh pimpinan tempatan.
“Sebagai contoh, di Kelantan Datuk Seri Supardi Md Noor (Ketua Cabang Tanah Merah) dan dibantu Timbalannya Dr. Shamsudin Ghani (ketua Cabang Pasir Puteh),” katanya.
Di Terengganu, kata beliau, PKR diketuai Ahmad Nazri Mohd Yusof (Ketua Cabang Kemaman) dan timbalannya, Datuk Dr. Mohd Johari Mohamad (anggota Cabang Besut).
Kata Nik Nazmi, rombakan itu bukan perkara luar biasa, sebaliknya langkah wajar dilakukan untuk memberi peluang kepada parti fokus kepada kepimpinan baru.
Jelasnya lagi, rombakan itu juga dilakukan secara berperingkat dengan Anwar sendiri mengadakan pertemuan bersama ketua cabang di setiap negeri.
“Sebelum ini dia hanya dapat buat untuk Perlis, Kedah, Pualau Pinang, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan (rombakan pertama). Dia tak sempat nak berjumpa lagi dengan negeri lain.
“Semalam adalah perjumpaan selepas pertemuan kali kedua dengan negeri lain, macam Wilayah pada Rabu lalu, saya hadir sebagai ketua cabang. Jadi, ini proses normal,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252