BERITA UTAMA

Piala Dunia ISTAF: Ahmad Jais minta maaf kepada rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Tiada kata-kata yang mampu disuarakan pengendali skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, selain ucapan maaf selepas gagal menunaikan impian menjuarai acara regu berpasukan pada final kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini, malam tadi.

Ahmad Jais berkata, skuad Thailand masih lengkap dari segenap aspek berbanding pasukan bimbingannya pada pertembungan itu yang menyaksikan Malaysia terus kempunan menamatkan kemarau 33 tahun bergelar juara acara berpasukan.

Kali terakhir Malaysia muncul juara acara berpasukan pada Sukan SEA Manila 1991 sebelum menyaksikan skuad negara terpaksa menunggu lama untuk memecahkan dominasi skuad Gajah Putih dalam sukan sepak takraw.

“Saya bagi pihak pasukan kebangsaan memohon maaf kepada semua peminat kerana gagal memecah dominasi Thailand. Secara peribadi kita lihat beberapa elemen dalam permainan khusus regu kedua dan ketiga.

“Itu antara penyebab kita gagal memberi saingan kepada pasukan Thailand dan kita kena sedar tiada jalan mudah untuk pemain kita capai prestasi terbaik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Bekas tekong negara itu dalam masa sama mahu keputusan dilakar pada final itu tidak sama sekali mematahkan semangat negara untuk terus berjuang sementara akan menggunakan masa yang ada untuk membentuk kembali dan membaiki kekurangan yang ada bagi mengharungi kejohanan antarabangsa lain.

Malaysia akan mengharungi satu lagi kejohanan besar iaitu Piala Raja Thai yang akan diadakan di Bangkok awal September ini.

Terdahulu pada aksi final, regu utama negara Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) meraih mata pertama buat negara ke atas Thailand 9-15, 15-11, 15-13.

Bagaimanapun, Thailand menyamakan kedudukan 1-1 menewaskan regu kedua negara Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin 15-8 dan 15-5 pada perlawanan kedua.

Thailand kemudian menoktahkan kemenangan untuk menjulang trofi Piala Dunia edisi keempat itu dengan kemenangan 15-12 dan 15-12. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *