Jangan cemas pesawat TUDM terbang rendah esok

KUANTAN – Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan latihan penerbangan taktikal bagi aset-aset udara secara rendah bermula esok hingga 2 Jun ini.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, latihan itu antaranya bertujuan mempamerkan kesiagaan aset dan anggota TUDM sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan pada 1 Jun.

Kenyataan itu menyebut latihan itu juga bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan tugas operasi yang membabitkan pesawat pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.

“Sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat TUDM yang terbabit akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di ruang udara Pangkalan Udara Kuantan dan sekitar negeri Pahang,” menurut kenyataan itu.

TUDM menasihatkan orang ramai supaya tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera terbang rendah sepanjang tempoh latihan dilaksanakan. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *