PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengarahkan Dr Mahathir Mohamad yang sedang disiasat badan itu, untuk mengisytiharkan asetnya, menurut bekas perdana menteri itu.
Dalam satu wawancara dengan saluran berita CNBC, Mahathir berkata beliau sedia untuk mengisytiharkan asetnya jika diminta, tetapi mengakui ‘bukan mudah untuk menjejak aset sejak lebih 40 tahun lalu’.
“Mereka kata sedang siasat, tetapi siasatan tidak melibatkan sebarang permintaan untuk mengisytiharkan aset saya,” katanya.
Pada bulan lalu, SPRM mengesahkan mereka menyiasat bekas perdana menteri dua kali itu. Tetapi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki enggan memberi maklumat lanjut.
Play
Pada Mac lalu, dua anak lelaki Mahathir mendedahkan bahawa badan antirasuah itu mengarahkan mereka untuk membantu satu siasatan terhadap bapa mereka.
SPRM juga sebelum ini mengarahkan Mokhzani dan abangnya Mirzan untuk mengisytiharkan aset sejak 1981, tahun di mana Mahathir menjadi perdana menteri.
Mokhzani berkata Mahathir adalah ‘sasaran utama siasatan’ dan abangnya itu juga disiasat oleh SPRM.
Dalam wawancara itu, Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak pernah terlibat dengan amalan rasuah sepanjang menjadi perdana menteri.
“Saya juga pastikan keluarga saya tidak terbabit dengan hal ehwal kerajaan kerana saya mungkin dituduh mengamalkan nepotisme,” katanya.
Katanya, tuduhan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau mengumpul berbilion-bilion ringgit adalah tidak berasas.
“Sehingga hari ini, beliau gagal membuktikan saya mengambil satu sen pun. Saya sudah (saman) beliau di mahkamah untuk mengemukakan bukti saya mengambil wang,” katanya.
Pada tahun lalu, Mahathir memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar, kerana menuduh beliau mengayakan diri dan keluarganya, selain menuduh beliau sebagai rasis.
Mahathir juga menggesa SPRM mengemukakan sebarang bukti kesalahan yang beliau lakukan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252