Gesaan TMJ mahu Johor dilayan setaraf Sabah,Sarawak ada asas – Hassan Karim

Peluk Hamas, saya tak percaya Anwar berlakon – Hassan

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim masih kuat percaya atas komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu nasib rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan bagi menjawab kenyataan aktivis rakyat Hishamudin Rais bahawa Anwar berlakon bagi menutup isu saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) yang didakwa dijual kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat yang menyokong rejim Israel.

“Saya tak percaya PM Anwar hanya berlakon dan main wayang di hadapan pemimpin Hamas, tetapi sebaliknya di belakang mereka kerajaan Malaysia bercadang menjual 30 peratus saham MAHB yang mengendalikan 38 lapangan terbang di Malaysia kepada GIP yang dimiliki oleh sebuah syarikat pelaburan Amerika Syarikat yang pro-Israel bernama Blackrock,” katanya.

Hassan bagaimanapun, mahu Anwar secara tuntas menjawab isu berkenaan.

“Mudah sahaja isu ini. Sama ada dakwaan kerajaan akan menjual sebahagian saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) itu benar atau tidak dari segi faktanya? Kalau benar katakan benar. Kalau tidak katakan tidak. Noktah!,” tegasnya.

Menurutnya, jawapan daripada Anwar penting bagi menjadikan isu itu tidak berpanjangan.

“….dan nama baik PM Anwar Ibrahim dapat kekal terpelihara di dalam negeri dan di dunia antarabangsa dalam soal Palestin, maka tidak ada orang lain yang boleh menjawab melainkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri,” saran beliau.

Bagi Hassan, apa yang disuarakan oleh Hishamudin dan rakannya dari Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) adalah berniat baik.

“Mereka semua patriotik. Mereka hanya minta kerajaan jawab terutama jawapan daripada PM Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan,” katanya.

Katanya lagi, Hishamudin dan ramai aktivis Sekretariat Solidariti Palestin termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu bersuara dalam hal ini kerana isu ini penting.

“Rakyat dan Kerajaan Malaysia selama ini amat tegas dalam sokongan mereka kepada perjuangan adil rakyat Palestin, lebih lagi sekarang apabila lebih 35,000 rakyat Palestin terbunuh dalam perang genosid rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *