JAKARTA – Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia memberi jaminan kerajaan akan segera membina sejumlah 335 unit rumah tahan gempa untuk keluarga yang terjejas teruk akibat letusan lava sejuk Gunung Marapi, baru-baru ini.
Jurucakap agensi itu, Abdul Muhari, berkata rumah tahan gempa itu akan dibina oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan di daerah Agam dan Tanah Datar, Sumatera Barat.
Katanya, pihak pentadbiran daerah Agam akan menyediakan tanah seluas 100 hektar, manakala pentadbiran Tanah Datar pula menyediakan tanah seluas 10 hektar untuk pembinaan rumah berkenaan.
“Sejumlah 335 rumah itu akan menjadi unit ‘Risha’ atau ‘Rumah Instan Sederhana Sehat’ yang direka untuk mereka yang terjejas akibat bencana.
“Rumah ‘Risha’ adalah kediaman tahan gempa dan sesuai untuk penduduk yang tinggal di Sumatera Barat, yang juga antara kawasan sering berlaku bencana di Indonesia,” katanya semalam.
Abdul Muhari berkata, kelmarin Presiden Joko Widodo (Jokowi) turut melawat daerah Agam bagi menyelia tanah yang disediakan untuk projek pembinaan perumahan terbabit.
“Dalam lawatannya, Jokowi menyatakan langkah kecemasan bencana di Agam dan Tanah Datar berjalan dengan baik,” katanya.
Gunung Marapi pertama kali meletus pada 3 Disember lalu, jam 2.54 petang waktu tempatan dan letusan itu turut memerangkap 75 pejalan kaki di cerun.
Pada 6 Januari, gunung berapi berkenaan meletus semula sekitar jam 8.45 malam waktu tempatan.
Pada petang 11 Mei lalu, aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi dan tanah runtuh direkodkan berlaku di beberapa bahagian daerah Agam dan Tanah Datar serta di bandar Padang Panjang.
Bencana itu juga sudah meragut sekurang-kurangnya 61 nyawa.
Ia juga menyebabkan kerosakan serius kepada banyak rumah penduduk tempatan, malah perniagaan dan kemudahan awam turut terjejas.
Bencana berkenaan urut menyebabkan beberapa bahagian jalan rosak, teruk termasuk yang berdekatan dengan air terjun Lembah Anai sehingga mengganggu pergerakan orang ramai dan agihan barangan di antara Padang dan Bukit Tinggi. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252