BERITA UTAMA

SIA beri kerjasama, 143 penumpang dan anak kapal sudah dibawa pulang

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan dalam menjalankan siasatan berhubung insiden gelora Udara ketika penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya akan turut menghulurkan sokongan kepada mereka yang terlibat termasuk keluarga mangsa yang terkorban.

Jelas beliau, sebuah penerbangan bantuan telah membawa 143 penumpang dan anak kapal pulang ke Singapura pada pagi tadi, manakala 76 lagi penumpang dan enam anak kapal masih berada di Bangkok, termasuk mereka yang sedang menerima rawatan.

“Semalam, kira-kira 10 jam selepas berlepas, penerbangan Singapore Airlines SQ321, yang dalam perjalanan dari Heathrow ke Singapura mengalami pergolakan (Udara) melampau secara tiba-tiba di Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki.

“Penerbangan itu membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal. Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan.

“Kami amat sedih dengan kejadian ini. Ia telah mengakibatkan satu kematian dan beberapa kecederaan,” katanya dalam kenyataan tersebut pada Rabu.

Mengulas lanjut, Choon Phong keutamaan SIA adalah untuk memberikan semua bantuan kepada penumpang dan anak kapal syarikat penerbangan tersebut.

Dalam masa sama, beliau berkata syarikat penerbangan tersebut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkoban dan memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam insiden tersebut.

Media melaporkan, lelaki Britain berusia 73 tahun disahkan terkorban di dalam pesawat, dipercayai akibat serangan jantung susulan gelora udara.

Menurut analisis data awal perkhidmatan pengesanan penerbangan Flightradar24, penerbangan London-Singapura mengalami lebih daripada satu minit gelora udara melampau sekitar 11,300 meter di atas Myanmar, menyebabkan pesawat naik dan menjunam beberapa kali.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *