BERITA UTAMA

Sembilan rakyat Malaysia antara mangsa insiden gelora udara Singapore Airlines

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan sembilan rakyat Malaysia termasuk seorang anak kapal berada dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand, pada Selasa.

Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok memaklumkan, telah berhubung pihak berkuasa tempatan dan hospital, selain pegawai konsular turut melawat dan memberikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa.

Menurut Wisma Putra, pada masa ini lapan daripada rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan dirawat di dua hospital di Bangkok.

Lima daripada mereka menerima rawatan di Hospital Samitivej Srinakarin, sementara tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Kata Wisma Putra juga, berdasarkan rundingan dengan doktor dari kedua-dua hospital, mereka mengalami kecederaan fizikal dan dalaman, tetapi tiada yang berada pada tahap kritikal.

“Mereka berada di bawah pengawasan di wad biasa, secara berasingan dan sedang menunggu keputusan perubatan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan.

Sementara itu, ahli keluarga penumpang yang terjejas boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok melalui talian +66-2340-5731/5732 (waktu bekerja)+66-87-028-4659 (selepas waktu bekerja) bagi mendapatkan perkembangan lanjut.

Pada Selasa, seorang penumpang pesawat SIA dilaporkan meninggal dunia selepas pesawat SQ321 mengalami kejadian gelora udara ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.

SIA memaklumkan pesawat dengan nombor pendaftaran SQ321 terpaksa mengubah laluan penerbangan dan melakukan pendaratan di Bangkok pada jam 3.45 petang waktu tempatan.

“Kami mengesahkan beberapa penumpang mengalami kecederaan dan satu kematian dilaporkan dalam pesawat Boeing 777-300ER.

“Penerbangan tersebut membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal semasa kejadian,” kata SIA dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *