BERITA UTAMA

Kante kembali sertai Les Bleus bagi Euro 2024

PARIS – Juara dunia N’Golo Kante membuat kemunculan semula yang mengejutkan dalam bola sepak antarabangsa ketika jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengumumkan 25 pemain yang akan membarisi skuad Perancis pada Euro 2024.

Kante meninggalkan kelab Inggeris, Chelsea pada musim panas lalu untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad dan tidak mewakili Perancis sejak Jun 2022.

“Dia bermain semusim penuh (Kante bergelut dengan kecederaan ketika bersama Chelsea), sekalipun bukan dalam satu liga Eropah dan dia berada di Arab Saudi,” kata Deschamps dalam saluran TV Perancis, TF1.

“Dia kembali ke tahap kecergasan terbaik. Dengan pengalamannya, saya yakin pasukan Perancis akan lebih kuat dengan adanya N’Golo Kante.”

Pemenang Piala Dunia 2018 itu kejutan terbesar dalam skuad Deschamps, namun pengalaman pemain berusia 33 tahun itu tidak diragui akan membantu pemain remaja Warren Zaire-Emery dan Bradley Barcola, yang turut disenaraikan selepas musim cemerlang di kelab juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain sayap Barcola, 21, satu-satunya pemain yang belum pernah beraksi dalam skuad itu tetapi mengetuk pintunya dengan penamat memukau musim ini, terutama ketika beraksi pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Real Sociedad dan Barcelona.

Turut kembali ke kancah bola sepak antarabangsa pertahanan Real Madrid, Ferland Mendy, yang tidak bermain buat Perancis sejak September 2022, tetapi kerap beraksi musim ini buat kelabnya yang berada di landasan untuk melengkapkan kejuaraan berganda liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.

Bintang serangan Kylian Mbappe turut disenaraikan dalam skuad, begitu juga Antoine Griezmann, Olivier Giroud dan pertahanan Arsenal, William Saliba.

Mbappe hadir pada kejohanan itu dengan prestasi terbaik, di sebalik ketidaktentuan mengenai kelabnya musim depan selepas mengesahkan dia akan meninggalkan PSG pada musim panas ini.

Kapten Perancis itu sudah meledak 44 gol setakat ini musim ini dan boleh menokok jumlah itu bagi baki aksi Ligue 1 dan final Piala Perancis. – AFP

SKUAD PERANCIS:

Penjaga gol: Alphonse Areola (West Ham/ENG), Mike Maignan (AC Milan/ITA), Brice Samba (Lens).

Pertahanan: Jonathan Clauss (Marseille), Ibrahima Konate (Liverpool/ENG), William Saliba (Arsenal/ENG), Jules Kounde (Barcelona/ESP), Theo Hernandez (AC Milan/ITA), Ferland Mendy (Real Madrid/ESP), Benjamin Pavard (Bayern Munich/GER), Dayot Upamecano (Bayern Munich/GER).

Tengah: N’Golo Kante (Al Ittihad/KSA), Eduardo Camavinga (Real Madrid/ESP), Adrien Rabiot (Juventus/ITA), Antoine Griezmann (Atletico Madrid/ESP), Aurelien Tchouameni (Real Madrid/ESP), Warren Zaire-Emery (PSG), Youssouf Fofana (Monaco).

Penyerang: Kylian Mbappe (PSG), Bradley Barcola (PSG), Ousmane Dembele (PSG), Kingsley Coman (Bayern Munich/GER), Marcus Thuram (Inter Milan/ITA), Randal Kolo Muani (PSG), Olivier Giroud (AC Milan/ITA).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *